- Iklan -
Berita

ATM siap siaga ancaman siber susulan kenyataan Korea Utara

ATM sentiasa siap siaga selepas Korea Utara berkata Malaysia perlu menanggung akibat selepas mengekstradisi rakyatnya ke Amerika Syarikat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut panglima ATM, negara kini bukan sahaja berhadapan dengan ancaman fizikal tetapi juga ancaman siber, namun perkara tersebut masih terkawal. Gambar: Bernama
Menurut panglima ATM, negara kini bukan sahaja berhadapan dengan ancaman fizikal tetapi juga ancaman siber, namun perkara tersebut masih terkawal. Gambar: Bernama

Angkatan Tentera Malaysia meningkatkan tahap kesiapsiagaan, antaranya menumpukan kepada ancaman siber dalam memastikan data rahsia kerajaan berada dalam keadaan selamat, susulan kenyataan Kaunselor Kedutaan Korea Utara di Malaysia Kim Yu-Song baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang berkata, negara kini bukan sahaja berhadapan dengan ancaman fizikal tetapi juga ancaman siber, namun perkara tersebut masih terkawal.

“Pertama sekali ATM akan memastikan negara berada dalam keadaan selamat, kita juga meningkatkan kesiapsiagaan dalam perkembangan siber,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao ke-16 (TPA-M16) di Wisma Perwira ATM hari ini.

Jelasnya lagi, ancaman siber menjadi antara tumpuan utama pasukannya, kerana sudah menjadi rutin kehidupan masyarakat masa kini banyak bergantung kepada teknologi siber dalam urusan harian, seperti membeli barang atau pembayaran secara dalam talian dan sebagainya.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan yang diberikan Kim pada Ahad lepas, yang mengatakan Malaysia perlu menanggung akibat daripada tindakan mengenakan pendakwaan terhadap rakyatnya.

Ahad lepas, kesemua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara dan tanggungan mereka di Malaysia, berlepas pulang ke negara mereka susulan keputusan Pyongyang menamatkan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur.

Pada Jumaat, Pyongyang mengumumkan ia menamatkan hubungan diplomatik dengan Malaysia, apabila pada awal bulan ini mahkamah Malaysia memutuskan seorang ahli perniagaan Korea Utara boleh diekstradisi ke Amerika Syarikat, untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram.

Pada hari sama, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, ia kesal dengan keputusan Korea Utara itu dan sebagai tindak balas, Malaysia akan menutup kedutaan negara berkenaan di sini yang operasinya sudah digantung sejak 2017.

Malaysia dan Korea Utara mewujudkan hubungan diplomatik pada 1973, serta mengecapi pelbagai pencapaian diplomatik dan perdagangan hinggalah pada 2017, apabila Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, dibunuh di Malaysia.

Terdahulu, Affendi menyempurnakan majlis perasmian Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao ke-16 (TPA-M16) yang akan berlepas ke Mindanao, Filipina pada Jumaat ini (26 Mac).

Pasukan TPA M-16 yang diketuai timbalan ketua misi Hamdan Ismail bersama 16 pegawai dan anggota daripada ATM, Polis Diraja Malaysia dan penjawat awam, menggantikan TPA M-15 yang dijadual tiba di tanah air pada 10 April.

Penghantaran TPA M-16 selama 12 bulan itu adalah bagi meneruskan tugas-tugas berpandukan Terma Rujukan bagi pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).