Wednesday, April 21, 2021

Zafrul pertahan status hutang kerajaan

Zafrul menegaskan bahawa hutang kerajaan masih di bawah had statutori selari dengan undang-undang.

Other News

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menegaskan bahawa hutang kerajaan masih di bawah had statutori selari dengan undang-undang walaupun pelbagai tuduhan kononnya ia telah melangkaui 60% had pada akhir tahun lalu.

Penjelasan terbaru menteri kewangan itu menerangkan beberapa pertikaian dan dilihat memberikan respons terhadap beberapa tuduhan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa kerajaan tidak jujur dan menuduhnya memanipulasi data fiskal negara.

Menurut Zafrul, hutang negara masih dalam had statutori seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu sebanyak 60% merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).

Sebelum Covid-19, Malaysia telah meletakkan siling hutang domestik dan luarannya pada kadar 55% daripada KDNK, satu had kendiri yang kemudian terpaksa dilihat semula apabila Covid-19 melanda, ia bagi membolehkan negara lebih anjal secara fiskal selain bertujuan menyelamatkan nyawa dan kehidupan.

Mengambil tindakan atas kesedaran itu, dan bagi berfungsi dengan lebih efektif, Parlimen bersetuju untuk meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) dan meningkatkan had hutang hingga 60% dari KDNK untuk MGS, MGII, dan MITB.

Langkah-langkah tersebut disokong hampir semua ahli Parlimen, sehingga membolehkan kerajaan mengeluarkan lebih banyak bantuan kepada golongan B40 dan industri kecil dan sederhana (SME), selain dapat menyelamatkan pekerjaan melalui subsidi upah dan bantuan perniagaan.

Pada masa yang sama, siling hutang yang lebih tinggi juga membolehkan kerajaan membiayai dan menyalurkan bantuan tambahan kepada mereka yang paling terjejas akibat wabak tersebut.

Bagi menjelaskan dua instrumen hutang lain yang turut mengandungi had undang-undang, Zafrul berkata pinjaman luar negeri memiliki had sebanyak RM35 bilion, dan had sebanyak RM10 bilion untuk hutang Bil Perbendaharaan Malaysia.

Menurut Zafrul, kedua-dua intrumen hutang tersebut masih di bawah had statutori.

Sehubungan itu, katanya, jumlah hutang kerajaan untuk dua instrumen di atas masih di bawah had berkanun. ⠀

“Apabila ada pihak merujuk kepada hutang negara mencecah 62% pada hujung 2020, ia sebenarnya adalah rangkuman semua hutang di atas.

“Tapi seperti yang saya jelaskan, setiap komponen ada had hutangnya sendiri dan ia tidak pernah melepasi had hutang mengikut undang-undang.” kata Zafrul.

Zafrul turut menambah, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.

Kerajaan terpaksa berhati-hati menyeimbangkan antara perbelanjaan untuk rakyat dan peningkatan nisbah hutang negara.

Namun, apabila negara berada dalam krisis ekonomi, maka, keperluan perbelanjaan untuk rakyat akan lebih besar menyebabkan paras hutang juga meningkat. ⠀

“Ekoran itu, kerajaan telah meletakkan kepentingan untuk membantu rakyat sebagai keutamaan, termasuk dengan menyuntik sejumlah RM340 bilion ke dalam ekonomi melalui beberapa siri pakej stimulus. Ia menaikkan hutang tanpa melepasi had statutori seperti yang telah dijelaskan.”

Menurutnya lagi, kementerian kewangan akan terus memantau hutang negara bagi memastikan ia terkawal bagi mengekalkan keyakinan pelabur dan agensi antarabangsa.

“Tanpa keyakinan mereka, rakyat akan terkesan dengan pelbagai kesan negatif seperti kurangnya pewujudan pekerjaan dan peluang perniagaan. ⠀

Menyentuh hutang legasi yang buruk, Zafrul berkata wujud hutang baik dan hutang lapuk.

Katanya, hutang yang baik adalah seperti adalah seperti pinjaman yang kita ambil untuk tampung kos inisiatif bagi membantu rakyat dan menyelamatkan pekerjaan.

“Pinjaman bagi membangunkan infrastruktur untuk rakyat seperti lebuhraya dan kemudahan awam lain juga adalah contoh hutang yang baik.”⠀

Namun, katanya lagi, hutang yang buruk adalah hutang yang tidak membawa sebarang faedah ekonomi atau manfaat untuk rakyat hari ini.⠀

“Ada sebahagian hutang yang perlu kerajaan urus hari ini disebabkan bebanan hutang yang buruk tinggalan pentadbiran terdahulu.⠀

“Walaupun hutang ini bukan hutang yang dibuat kerajaan hari ini, tetapi ia tetap hutang yang perlu kita uruskan. Kesannya memang besar tetapi kita cuba uruskan,” katanya.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles