- Iklan -
Berita

Tidak perlu ubah rancangan vaksinasi, kata pakar kesihatan

Pakar kesihatan mempertahankan proses pengedaran vaksin kepada orang ramai yang dirancang kerajaan ketika ini dan jika diubah akan menimbulkan kecelaruan.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari lalu bagi memastikan Malaysia mencapai imuniti kelomok pada tahun hadapan.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan pada Februari lalu bagi memastikan Malaysia mencapai imuniti kelomok pada tahun hadapan.

Pakar kesihatan mempertahankan proses pengedaran vaksin Covid-19 dalam negara yang dijalankan kerajaan ketika ini susulan kritikan beberapa pihak bahawa Malaysia ketinggalan dalam menguruskan suntikan vaksin yang menyasarkan imuniti kelompok di negara ini tahun depan.

Pakar kesihatan memberitahu MalaysiaNow rancangan vaksinasi yang dijalankan ketika ini perlu dikekalkan dengan membuat beberapa pembaikan kecil dalam proses tersebut.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Subramaniam Muniandy berkata proses pendaftaran suntikan vaksin ketika ini boleh dianggap mudah walaupun wujud kebimbangan berhubung borang selain akses kepada aplikasi MySejahtera bagi mereka yang tinggal di pedalaman dan berpendapatan rendah.

Namun, menurut Subramaniam, walaupun wujud golongan yang tidak memiliki akses internet atau telefon pintar bagi memuat turun aplikasi tersebut, mereka masih boleh mendaftar nama di klinik kesihatan kerajaan yang terdekat.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pembahagian fasa dalam program vaksinasi kerajaan: Fasa 1 bagi barisan hadapan; Fasa 2 untuk warga emas dan mereka yang kurang upaya dan berisiko tinggi; dan Fasa 3 untuk suntikan kepada mereka yang berumur lebih 18 tahun.

“Jika jadual itu diikut, kita tahu dalam masa tiga minggu sahaja bekalan seterusnya bagi vaksin yang sama perlu diagihkan.

“Jika kita tunggu hingga semua orang dapat sekurang-kurangnya satu dos, sukar untuk uruskan vaksin-vaksin berbeza dalam jumlah yang berbeza selain perlu distor dengan cara yang berbeza bagi dos kedua,” kata beliau ketika ditanya mengenai cadangan supaya jadual vaksinasi diubah dengan menyelesaikan edaran suntikan kepada semua orang terlebih dahulu tanpa menunggu dos yang kedua.

Beliau turut mengesyorkan supaya barisan hadapan negara divaksin sepenuhnya sebelum fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan.

Jika kerisauan masih wujud mengenai jadual pengedaran vaksinasi, beliau berkata institusi swasta harus dibenarkan untuk membeli vaksin tersebut jika kerajaan memiliki bekalan mencukupi.

PICK yang dilancarkan 24 Februari lalu dikritik beberapa individu termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang berkata kadar kesegeraan dalam pengedaran suntikan vaksin perlu ditingkatkan.

Mereka juga turut membandingkan proses di Malaysia dengan negara-negara lain seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Britain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Galen Centre for Health and Social Policy, Azrul Mohd Khalib berkata beliau maklum pendaftaran vaksinasi Covid-19 masih dianggap ketinggalan namun katanya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memberi respons mengenainya bahawa bentuk pendaftaran lain diaktifkan dalam talian menerusi laman sesawang dan talian hotline.

Azrul turut memuji program mendekati golongan yang kurang berkemampuan bagi mendaftarkan mereka seperti yang diumumkan Khairy Jamaluddin.

“Kita perlu pastikan tak ada orang yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata usaha-usaha demikian boleh dilanjutkan kepada golongan yang tidak memiliki telefon pintar atau kurang mahir dengan teknologi seperti yang berada di pedalaman dan warga emas.

Dalam sidang media semalam, Khairy turut mengumumkan kempen untuk memastikan masyarakat pedalaman tidak diabaikan dalam program vaksinasi kerajaan.

Di bawah inisiatif yang diselia Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), pegawai-pegawai akan dihantar ke pedalaman dan kampung yang tidak memiliki akses internet untuk mendaftar penduduk di kawasan tersebut secara manual.

Azrul turut bersetuju dengan Subramaniam kerajaan harus mengekalkan rancangan sedia ada untuk dos kedua daripada menggunakan semuanya bagi meluaskan lagi jumlah penerima suntikan.

“Stok vaksin cukup untuk mereka yang berada dalam perkhidmatan utama. Sasaran untuk fasa pertama adalah 500,000. Kita sekarang di angka 367,213.”

Sementara itu, Dr Steven Chow mencadangkan untuk melibatkan pengamal perubatan dalam pengedaran suntikan bagi meningkatkan kadar vaksinasi.

“Kementerian kesihatan tidak boleh melakukan ini secara sendirian dalam jangka waktu yang pendek.”

Beliau berkata vaksin tidak memerlukan logistik yang khusus seperti peti ais besar sehingga menyusahkan klinik-klinik.

“Jika ia boleh dilaksanakan, sesiapa pun yang nak divaksin boleh datang ke klinik dan boleh terus divaksin,” katanya.

Terdahulu, Khairy berkata PICK mengalu-alukan penglibatan sektor swasta dalam pengagihan vaksin dalam negara.

Bagaimanapun, ketika ini hospital swasta digunakan sebagai pusat-pusat vaksinasi bagi pekerja-pekerja penjagaan kesihatan di bawah fasa pertama PICK.