- Iklan -
Berita

Persoalan timbul berhubung ‘forum demokrasi’ libatkan Najib, Anwar

Kebimbangan itu disebabkan penglibatan bekas perdana menteri Najib Razak dan latar belakang penganjur.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak dan Anwar Ibrahim kebelakangan ini dilihat memiliki pandangan serupa berhubung isu-isu membabitkan pengurusan Covid-19.
Najib Razak dan Anwar Ibrahim kebelakangan ini dilihat memiliki pandangan serupa berhubung isu-isu membabitkan pengurusan Covid-19.

Persoalan timbul dalam kalangan kumpulan masyarakat sivil berhubung penganjuran sebuah forum bulan ini yang menampilkan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan bekas perdana menteri Najib Razak, selain senarai pembicara lain termasuk pemimpin Umno dan Pakatan Harapan (PH).

Kebimbangan tersebut bukanlah sangat disebabkan Najib yang disabitkan bersalah melakukan beberapa transaksi melibatkan dana awam bernilai jutaan dolar ke dalam akaun peribadinya diberikan ruang menyampaikan ucaptama semasa majlis penutup program satu hari itu.

Bukan juga disebabkan penyertaan Anwar dalam majlis sama mengejutkan mereka. Kedua-dua ahli politik itu kebelakangan ini memiliki pendirian serupa dalam mengkritik Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, susulan rundingan awal antara parti-parti mereka untuk bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kebimbangan kami adalah mengenai orang di belakang organisasi yang menganjurkan forum itu,” kata seorang aktivis sosial kepada MalaysiaNow dengan syarat tidak dinamakan.

Katanya, ramai rakan aktivisnya sedar orang yang mengetuai badan pemikir yang menganjurkan forum melibatkan Anwar dan Najib itu merupakan seorang individu yang pernah didakwa memeras ugut seorang hartawan terkenal.

Individu tersebut dibebaskan selepas pengadu yang juga merupakan saksi utama pendakwaan gagal hadir ke mahkamah untuk memberikan kenyataan dalam perbicaraan tersebut.

MalaysiaNow mengambil keputusan untuk tidak mendedahkan nama penganjur dan forum tersebut.

Namun perbualan dengan jurucakap badan pemikir itu mengesahkan individu di belakang forum tersebut merupakan orang yang sama didakwa di mahkamah sebelum ini.

Bagaimanapun, jurucakap badan pemikir itu menepis kebimbangan ramai berhubung latar belakang penganjur forum selain keputusan meletakkan Najib sebagai orang terakhir berucap pada majlis penutupan forum.

“Najib merupakan seorang ahli Parlimen, sama seperti orang lain. Anwar turut diberikan ruang,” kata jurucakap itu menafikan forum tersebut bertujuan untuk mempromosikan ahli politik tertentu.

Tempoh sembilan tahun pentadbiran Najib dicemari dengan skandal 1MDB di mana beliau didakwa menyalurkan lebih AS$700 juta (sekitar RM2.6 bilion) dari syarikat itu ke dalam akaun bank peribadinya.

Pada 2015, pentadbiran Najib menghentikan siasatan yang dijalankan pelbagai agensi mengenai skandal tersebut selain memecat peguam negara yang mengetuai siasatan ketika itu.

Siasatan tersebut kemudian dibuka semula oleh pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2018 dengan pihak berkuasa turut menyita wang tunai dan pelbagai barangan mewah bernilai RM1 bilion yang disimpan di beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menyabitkan bersalah terhadap Najib berhubung tujuh pertuduhan termasuk kesalahan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berkaitan SRC International.

Najib juga turut dijatuhi hukuman 12 tahun penjara. Beliau kini dalam proses rayuan di mahkamah.

Sementara itu, bahan-bahan publisiti forum yang dilihat MalaysiaNow menunjukkan barisan penelis dan pembicara termasuk kedua-dua speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari selain pemimpin Umno dan bekas menteri PH.

Firma tenaga berkait kerajaan dan syarikat data digital dinamakan sebagai penaja forum.

Difahamkan badan pemikir di belakang forum itu adalah pihak yang sama sebelum ini menganjurkan beberapa program bertema pembanterasan rasuah dan pemerkasaan demokrasi yang menampilkan ahli politik terkenal dan penjawat awam.