- Iklan -
Berita

Kebakaran musnahkan kem pelarian Rohingya di Bangladesh

Korban akibat kebakaran itu masih belum dapat disahkan kerajaan Bangladesh.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Populasi yang padat di kem pelarian menjadikan risiko kebakaran turut meningkat. Gambar: AP
Populasi yang padat di kem pelarian menjadikan risiko kebakaran turut meningkat. Gambar: AP

Api marak menjilat kem pelarian Rohingya di selatan Bangladesh pada Isnin memusnahkan ribuan tempat tinggal dan mengorbankan sejumlah nyawa, kata pihak berkuasa dan saksi kejadian.

Kebakaran itu berlaku di kem Balukhali, Cox Bazar, sebuah kawasan persisiran pantai di sempadan Myanmar-Bangladesh. Asap hitam memenuhi kawasan kem dan khemah pelarian ketika penduduk menyelamatkan diri dan barang mereka.

Sekurang-kurangnya 10,000 pelarian telah kehilangan tempat tinggal dan jumlah korban atau cedera belum dapat disahkan.

Wakil rasmi Bangladesh yang menyelaraskan hal ehwal pelarian Mohammed Shamsud Douza berkata kerajaan sedang mengawal kebakaran tersebut.

Pelarian Rohingya di kem itu berkata banyak rumah terbakar hangus dan beberapa orang dikatakan telah meninggal dunia, namun kerajaan Bangladesh dan UNHCR belum lagi mengesahkan jumlah kematian dalam kejadian tersebut.

Setakat ini, punca kebakaran juga masih belum dikenal pasti.

Lebih dari sejuta pelarian Rohingya tinggal di beberapa kem selepas majoriti masyarakat itu terpaksa keluar dari Myanmar selepas mereka disasarkan tentera negara itu dalam serangan yang disifatkan PBB sebagai sebuah “genosid” pada 2017.

Seorang pelarian berusia 50 tahun, Zaifur Hussein memberitahu Reuters bahawa pagar di sekeliling kem menjadikan ramai orang tidak dapat keluar dari kepungan api marak dan percaya puluhan orang terkorban dalam kejadian itu.

“Ketika kami Myanmar, kami hadapi pelbagai masalah, mereka hancurkan semuanya.

“Sekarang ia terjadi lagi,” katanya.

Pengarah Catholic Relief Sevices Snigda Chakraborty berkata, “Kemudahan perubatan di kem ini hanya asasi saja, kelecuran kulit perlukan rawatan yang lebih rumit. Tambahan pula katil-katil hospital sudah dipenuhi pesakit Covid-19.”

Januari lalu, kem itu turut dilaporkan terbakar namun tidak merekodkan sebarang kecelakaan nyawa.

Risiko kebakaran dalam sebuah populasi kem yang padat adalah tinggi, kebakaran pada Isnin adalah yang paling buruk setakat ini, kata pengarah Save the Children, Onno van Manen,

“Ini adalah kemalangan sekali lagi bagi pelarian Rohingya yang tinggal di sini,” katanya.