- Iklan -
Berita

Wakil rakyat PH berhimpun di Parlimen gesa sidang diadakan

Hanya sekitar 65 orang ahli Parlimen hadir dalam himpunan itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Parlimen hari ini menggesa kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Parlimen hari ini menggesa kerajaan mengadakan sidang Dewan Rakyat.

Hanya sekitar 65 dari 88 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) hadir dalam satu pertemuan yang diadakan di Parlimen hari ini sebagai langkah memberi tekanan kepada kerajaan untuk segera mengadakan sidang Dewan Rakyat ketika tempoh darurat.

Himpunan ini dilaporkan telah dirancang Presiden PKR Anwar Ibrahim pada hari ini yang sama waktu dengan taklimat program vaksinasi Covid-19 kebangsaan oleh Khairy Jamaluddin pagi tadi.

Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu sidang video dalam laman Facebook sekali lagi mengemukakan bantahan kenapa sidang Dewan Rakyat digantung.

Anwar berpendapat kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung isu penggantungan Parlimen menunjukkan pendirian kerajaan adalah “tidak tepat”.

Malah, katanya, keadaan ini menyebabkan Malaysia dilihat sama seperti Myanmar yang kini ditadbir oleh junta tentera.

“Maka apabila perdana menteri menegur Myanmar sepatutnya Myanmar (pula boleh) tegur perdana menteri sebab tidak memiliki alasan munasabah menggantung Parlimen.”

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi pandangan darurat tidak menghalang Dewan Rakyat untuk bersidang dan baginda hanya menunggu keputusan perdana menteri.

“Kalau kita tahu kaedah Perlembagaan dan institusi negara, apabila Agong memberi pandangan begitu, maknanya ia memberi gambaran jelas bahawa pandangan kerajaan untuk menggantung Parlimen adalah tidak tepat.”

Sementara itu menurut Anwar isu lain yang turut dibincangkan hari ini ialah mengenai pengambilan vaksin Covid-19 serta kadar pengangguran yang semakin serius.

Tambahnya angka-angka yang diberikan kerajaan mengenai situasi semasa pengangguran hanyalah untuk melunakkan orang ramai sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya.

Pembangkang juga katanya membincangkan isu pendidikan yang “haru-biru” kesan daripada keputusan dibuat secara tergopoh-gapah, termasuk membabitkan kekangan peranti untuk pelajar.