- Iklan -
Berita

Mengapa tiada pendakwaan terhadap ahli Parlimen Umno yang lompat, soal Anwar

Anwar gesa bekas peguam negara jelaskan ahli Parlimen Umno lompat Bersatu ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berjumpa SPRM untuk membincangkan isu wakil rakyat PKR dipujuk lompat parti.
Anwar Ibrahim berjumpa SPRM untuk membincangkan isu wakil rakyat PKR dipujuk lompat parti.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa bekas peguam negara Tommy Thomas menjawab persoalan mengapa tiada pendakwaan dilakukan kepada ahli Parlimen Umno yang didakwa menerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah mereka menyertai Bersatu.

Dalam satu perjumpaan bersama Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini, Anwar diberitahu bahawa SPRM tidak terlibat dalam melepaskan sesiapa.

“Saya kata ini tidak boleh dipertahankan. Ia menjadi rahsia umum. Kes sama, fakta sama, yang kekal pembangkang didakwa, yang melompat dilepaskan.

“Dia (Azam Baki) kata SPRM menjalankan tugas sekadar mampu, kemudian kemukakan (kes) kepada peguam negara. Peguam negara dulu dan sekarang mesti jawab,” katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan itu.

Beliau mengadakan kunjungan hormat tersebut susulan dakwaan mengenai seorang bekas menteri yang dikatakan akan dilepaskan daripada sebarang tindakan sekiranya beliau melompat parti.

Meskipun tidak menyebut nama, Anwar dipercayai merujuk kepada kes ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar yang mengumumkan keluar PKR dan menjadi ahli Parlimen bebas.

“Mereka (SPRM) memberi jaminan tetap telus dan tak tutup mana-mana kes kalau benar rasuah,” ujar Anwar.

Dalam pada itu, Azam turut mengesahkan pihaknya telah menerima kunjungan Anwar hari ini dan menjamin akan bertindak mengikut bidang kuasa yang diberikan kepada SPRM

“Saya telah mendengar beberapa isu semasa yang berbangkit.

“Saya memberi jaminan bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang dipantau lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Terdahulu, badan pencegah rasuah itu menahan seorang pemimpin PKR Perak yang pernah menjadi pegawai tugas-tugas khas kepada bekas menteri air, tanah dan sumber asli itu dalam satu siasatan berhubung rasuah melibatkan jutaan ringgit membabitkan kementerian itu semasa pentadbiran PH.