Wednesday, December 1, 2021

GPS bakal sapu bersih kerusi bekas wakil rakyat PKR?

Bagaimana GPS dan PN berdepan dalam pilihan raya Sarawak akan menjadi gambaran kepada kerjasama akan datang.

Other News

Pertembungan antara bekas ahli Parlimen PKR dan calon GPS dalam pilihan raya akan datang akan memberi kesan terhadap hubungan parti Sarawak dan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu, kata penganalisis.

Mereka juga berpandangan GPS, gabungan politik yang ditubuhkan selepas meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 2018 tidak akan memberi laluan mudah kepada parti-parti lain walaupun di peringkat pusat mereka masih berada dalam kem politik yang sama.

Empat daripada lima ahli Parlimen PKR di Sarawak yang keluar parti menyertai Bersatu, GPS atau menjadi bebas dan mesra kerajaan PN.

Ia termasuk ahli Parlimen PKR Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo) yang keluar parti seterusnya menyertai Bersatu bersama beberapa lagi pimpinan kanan PKR.

Sementara itu, ahli Parlimen Jugah Muyang (Lubok Antu) dan Larry Sng (Julau) juga turut mengumumkan keluar parti menjadi bebas dan mesra PN.

Penyertaan mereka ke dalam Bersatu memperkuatkan kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas mendapat sokongan 18 ahli Parlimen GPS.

Namun, walaupun kedudukan GPS dilihat kukuh selepas mendapat beberapa manfaat hasil kerjasama gabungan itu dengan Muhyiddin, termasuk mendapat berbilion dolar royalti minyak yang dinafikan kerajaan sebelum ini, para penganalisis berkata krisis gabungan politik negeri itu akan berlaku ketika mereka terpaksa berdepan dengan bekas ahli PKR sekiranya mereka mahu menuntut kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

GPS merupakan gabungan politik yang merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP), dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Gabungan ini turut dikenali sebagai “kingmaker” (kuasa penentu) dalam politik di peringkat pusat.

Selain PAS, sokongan GPS terhadap PN dianggap penting dalam Langkah Sheraton sehingga berjaya meruntuhkan kerajaan PH pada Februari 2020.

Calon-calon GPS yang bertanding di bawah bendera BN pada pilihan raya lalu terselamat daripada tsunami politik pada 2018 selepas kebanyakan negeri dikuasai gabungan yang diketuai Dr Mahathir Mohamad ketika itu, termasuk negeri jirannya, Sabah.

Pensyarah di Universiti Putra Malaysia Jayum Jawan berkata status “kingmaker” atau kuasa penentu menjadikan GPS dapat bertanding pada pilihan raya akan datang dengan kekuatan yang diperolehinya daripada kerajaan pusat.

“Suka atau tidak, GPS akan menjadi kingmaker dalam pembentukan kerajaan baru selepas PRU15,” kata Jayum kepada MalaysiaNow.

Ketika ini, walaupun pertembungan itu masih tidak nampak tandanya, namun kenyataan Fadillah Yusof dari GPS boleh dilihat sebagai satu petanda.

Baru-baru ini, Fadillah yang merupakan ahli whip di Parlimen dan juga  menteri kanan di pentadbiran pusat berkata gabungan itu akan bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 31 kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

Namun Fadillah turut mengisyaratkan GPS akan cuba mengelak daripada bertembung dengan Bersatu, rakan kerjasamanya di Putrajaya.

“Akan ada persefahaman bersama dengan ahli-ahli Parlimen yang kini berada dalam Bersatu. Kita akan lihat bagaimana kita boleh tampung mereka ini.

“Namun saya tak boleh (buat keputusan), pendirian kami akan diumumkan ketua menteri nanti,” kata beliau kepada pemberita di Kuching Jumaat lalu.

Pemerhati politik Jeniri Amir pula berkata apa-apa pertembungan di antara GPS dan Bersatu dalam pilihan raya akan datang boleh menjejaskan masa depan PN.

Beliau berkata ahli Parlimen seperti Willie dan Ali harus merancang langkah mereka seterusnya dan perlu memikirkan beberapa senario, dengan mengambil beberapa contoh di mana calon yang dipilih bertembung dengan parti-parti mereka sendiri.

“Apakah mereka berdua sanggup untuk kompromi? Apakah mereka akan sertai PSB semula? Atau mereka menjadi calon bebas?” soal beliau.

“Kingmaker perlu menjadi lebih bijak kerana sesiapa yang mahu bentuk kerajaan, mereka perlukan angka.”

Beliau menambah mana-mana bekas ahli Parlimen PKR yang mahu bertanding semula, mereka perlu berpengaruh di peringkat akar umbi.

Jeniri berkata Ali memiliki pengaruh yang lebih kuat di akar umbi berbanding Wille.

Jayum turut menambah seseorang wakil rakyat tidak semestinya hanya dibenarkan untuk bertanding di kerusi yang diwakili mereka.

Hal tersebut, katanya, akan menggalakkan ahli politik melompat parti atau menjadi calon bebas.

Selain itu, katanya, hubungan antara Bersatu dan GPS juga mungkin boleh berubah dan ia sentiasa dipantau parti-parti pembangkang.

Strategi mereka berdua untuk bertanding pada pilihan raya umum adalah sangat penting sama juga seperti keputusannya nanti.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles