- Iklan -
Berita

PKPB dilanjutkan, penambang sungai Sarawak hilang pendapatan

Mungkinkah perahu tambang tradisional Sarawak berubah menjadi perkhidmatan gig seperti 'Grab' bagi melindungi masa depan mereka?

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Pengusaha penambang seperti Pak Openg di Sarawak terkesan dengan PKPB yang dilaksanakan negeri itu.
Pengusaha penambang seperti Pak Openg di Sarawak terkesan dengan PKPB yang dilaksanakan negeri itu.

Perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutkan selama dua minggu dari 16 hingga 29 Mac, kata Timbalan Ketua Menteri Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata demikian pada sidang taklimat jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) di Kuching pada Jumaat lalu di samping turut menjelaskan keputusan itu diambil memandangkan jumlah kes positif di Sarawak masih tinggi.

Dengan 173 kes baru dilaporkan pada Jumaat, negeri itu mengumpul kes harian jangkitan sebanyak 12,051.

Ekoran keputusan tersebut, pengusaha perahu tambang (penambang) tradisional Sungai Sarawak menzahirkan kekecewaan mereka terhadap keputusan kerajaan negeri tersebut.

Ketiadaan kemudahan jambatan di sepanjang hulu dan hilir sungai, perahu kayu kecil itu menjadi satu-satunya cara penduduk tempatan menyeberang sungai atau pergi lebih jauh ke pedalaman di sepanjang sungai itu.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penambang bergantung kepada pelancong asing yang mahu ke Benteng Margherita dan tempat-tempat menarik lain berbanding penduduk tempatan bagi menghasilkan pendapatan.

Malangnya ketiadaan pelancong ketika ini membantutkan pendapatan mereka.

Pak Loden (kanan) bersama Basri Said di atas penambang mereka.

Pak Loden, dari jeti Kuching tengah, Kampung Sungai Bedil berkata, ramai pengusaha penambang sepertinya mengalami masalah sejak Covid-19 melanda negeri itu.

Veteran penambang sungai yang berusia 63 tahun itu memberitahu MalaysiaNow bahawa kebiasaannya, pendapatan akan meningkat semasa musim cuti sekolah kerana pelancong mengupahnya untuk membawa menyeberangi sungai ke Kampung Boyan untuk mengunjungi Benteng Margherita.

“Sekiranya terdapat lima orang dalam satu kumpulan, saya boleh kenakan bayaran RM50 untuk perjalanan satu jam. Sekiranya terdapat banyak pelancong, saya boleh jana pendapatan sehingga RM100 sehari.

“Sejak pandemik, saya hanya mampu dapat RM20 sehari,” katanya ketika ditemui di jeti Kampung Sungai Bedil.

Seorang lagi pengusaha bot penambang, Odeng bin Osman, yang beroperasi dari Pangkalan Jalan Gambir ke jeti Kampung Sungai Bedil turut berkata pendapatan hasil penambang sebenarnya sudah lama menurun sebelum wabak Covid-19 menular.

“Bot kami digunakan untuk iklan. Celcom dan Digi bayar banyak kepada kami, sekitar RM3,000 setahun. Malah syampu Sunsilk pun pasang iklan di bot kami,” kata lelaki berusia 58 tahun itu mengenang memori.

“Tapi itu 10 tahun dulu,” tambahnya.

Odeng atau lebih dikenali sebagai Pak Openg sudah membawa penambang sejak berumur 17 tahun. Dia berkata penambang tradisional adalah simbol sebenar Sungai Sarawak.

Bertugas membawa orang ramai menyusuri sungai di kampung-kampung berseberangan Kuching Waterfront, beliau berkata perahu tradisional di kota ini setia berkhidmat kepada penduduk Kuching sejak 50 tahun lampau.

“Pada 1970-an, penduduk kampung gunakan perkhidmatan penambang untuk pergi bekerja, sekolah atau pusat bandar dengan harga lima sen untuk kanak-kanak dan 10 sen untuk orang dewasa.

“Pada waktu itu, ‘pak tambang’ menggunakan dayung sehingga mengambil masa sekitar lima minit untuk menyeberangi sungai. Hari ini, bot berenjin perjalanan jadi lebih cepat dan tentunya tambang juga meningkat,”

Namun, katanya, walaupun tambang meningkat, Pak Openg berkata kehidupan dan pendapatannya tetap tidak banyak berubah.

“Kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga petrol sukarkan kita untuk jaga keluarga. Waktu dulu, tambang rendah, tetapi kami sebenarnya dapat lebih banyak kerana bawa lebih banyak penumpang.”

Katanya, kebanyakan orang di sepanjang sungai itu masih memilih perkhidmatan bot penambang kerana lebih murah dan lebih pantas daripada melalui jalan darat.

Seorang lagi pak tambang, Basri Saidi, 45, berkata dengan pembukaan Jambatan Darul Hana, sebuah jambatan pejalan kaki berbentuk “s” di seberang sungai itu pada 2017 menyebabkan pengusaha penambang paling terkesan walaupun ia menyumbang pemandangan indah pada waktu matahari terbenam.

“Berjalan menyeberang gunakan jambatan ambil masa sekurang-kurangnya 20 minit, jadi orang yang mahu cepat lebih suka menggunakan penambang saya untuk menyeberang sungai kerana lebih cepat,” katanya.

Basri bagaimanapun optimis bahawa perniagaannya akan pulih setelah program vaksinasi berjaya membina imuniti kelompok, pelancong akan kembali semula menggunakan khidmatnya.

Walaupun pengusaha-pengusaha penambang ini masih menggunakan cara tradisional dalam pengangkutan sungai, mereka bagaimanapun tidak terikat dengan kisah-kisah zaman lampau.

Pengusaha penambang sememangnya ingin menggunakan teknologi moden bagi menjana lebih banyak perniagaan.

Basri berkata, “perahu tambang” harus diakui sebagai aset warisan namun untuk beroperasi dan menghasilkan pendapatan lumayan ia memerlukan teknologi digital bagi menghidupkan semula perniagaan selain memastikannya untuk bertahan.

“Kita mesti pilihara dan jaga perkhidmatan penambang ini, kerana ia adalah sebahagian dari budaya Kuching kita yang digemari pelancong,” katanya.

“Saya harap kita dapat segera menggunakan perkhidmatan digital seperti ‘Grab’ untuk operasi penambang.”

Namun bagi beberapa pengusaha lain seperti Ahmad Junaidi, mereka tahu bahawa menggunakan teknologi baru akan menyukarkan perniagaan.

Ahmad, 57, sememangnya sanggup untuk meningkatkan kemahiran diri dan melakukan apa sahaja untuk penambangnya bertahan.

Apa yang menjadi masalah, dia tidak memiliki nombor telefon apatah lagi telefon pintar. Apa yang dia miliki hanyalah buku nota kecil bagi mencatat nombor telefon teman-temannya.

Walaupun tambang penambang ketika ini adalah RM1 seorang, namun jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk meningkatkan operasi penambangnya. Ia adalah kenaikan dari harga sebelum ini sebanyak 30 sen.

Ahmad tahu bahawa masih banyak lagi yang harus dilakukan bagi mempromosi pelancongan domestik di negeri itu.