- Iklan -
Berita

Putrajaya pertahan langkah ekstradisi warga Korea Utara ke AS

Putrajaya turut melahirkan rasa kesal dan akur dengan keputusan Korea Utara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan memberikan masa 48 jam untuk pegawai diplomatik Korea Utara meninggalkan Malaysia.
Kerajaan memberikan masa 48 jam untuk pegawai diplomatik Korea Utara meninggalkan Malaysia.

Putrajaya hari ini mempertahankan keputusannya untuk mengekstradisi seorang warga Korea Utara ke Amerika Syarikat (AS) sehingga Pyongyang memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Malaysia.

Dalam sebuah kenyataan, Wisma Putra berkata kerajaan telah memastikan ekstradisi Mun Chol Myong dijalankan mengikut prinsip keadilan, keluruhan undang-undang dan kebebasan sistem kehakiman.

“Malaysia amat kesal dengan keputusan pada 19 Mac 2021 bahawa Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik,” kata kementerian luar (Wisma Putra) hari ini.

“Ekstradisi itu dilaksanakan selepas proses perundangan yang teliti.

“Hak-hak Mun Chol Myong ketika penahanannya di Malaysia turut dijamin, termasuk akses mendapatkan peguam dan nasihat guaman, selain membenarkan kunjungan selama penahanan oleh keluarganya.”

Kenyataan Wisma Putra turut mengecam keputusan yang disifatkan tidak wajar, tidak membina dan tidak menghormati hubungan baik sesama masyarakat antarabangsa.

Selain itu, Wisma Putra turut melahirkan rasa kesal dan akur dengan keputusan Korea Utara untuk menutup Kedutaan Malaysia di Pyongyang, yang operasinya telah ditangguhkan sejak 2017.

Wisma Putra turut mengeluarkan arahan supaya semua kakitangan diplomatik dan tanggungan mereka di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur meninggalkan Malaysia dalam masa 48 jam mulai hari ini.

Menurut laporan media, Pyongyang mengumumkan bahawa hubungan diplomatik di antara Korea Utara dan Malaysia diputuskan selepas seorang warganya diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS) oleh kerajaan Malaysia.

Pyongyang turut menyelar “tindak tanduk permusuhan” yang ditunjukkan terhadapnya dan menyifatkan tindakan Malaysia itu sebagai “tunduk terhadap tekanan AS.”