- Iklan -
Berita

Najib cemuh kerajaan lepas langgar SOP Covid-19

Najib mengakui beliau langgar SOP Covid-19 dan rela membayar denda.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak merupakan orang yang lantang mengkritik kerajaan dalam usaha pembendungan Covid-19, namun hari ini mengakui ingkar SOP.
Najib Razak merupakan orang yang lantang mengkritik kerajaan dalam usaha pembendungan Covid-19, namun hari ini mengakui ingkar SOP.

Bekas perdana menteri Najib Razak mengakui kesilapan beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berkunjung ke sebuah restoran popular di pusat bandar.

Pengakuan itu diumumkan ketika beliau menjadi antara yang lantang mengkritik usaha-usaha kerajaan membendung pandemik Covid-19 namun dilihat berkunjung ke restoran Nasi Ayam Hainan Chee Meng di Bukti Bintang, Kuala Lumpur tanpa mematuhi SOP.

Beliau turut dilihat tidak mengimbas kos di aplikasi MySejahtera ketika memasuki restoran tersebut.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check-in sendiri.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela,”kata Najib dalam status Facebook beliau hari ini selepas dikritik hebat warga net.

Najib turut berkata beliau tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut dan berharap kompaun sebanyak RM1,500 boleh dikurangkan sebanyak 50%.

“Saya bayar sebelum tempoh 7 hari untuk dapat early bird diskaun 50% iaitu denda RM750.”

Najib Razak mendapat kritikan hebat warga net selepas tular di media sosial sebuah video beliau tidak mengimbas aplikasi MySejahtera ketika memasuki premis restoran.

Video berdurasi satu minit 30 saat itu tular memaparkan Najib sampai di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur yang terkenal dengan sajian nasi ayam, beliau berkunjung ke restoran itu dengan diiringi polis dan pegawai keselamatan yang disediakan untuk bekas perdana menteri itu.

Warga net turut mempersoalkan sama ada ahli Parlimen Pekan itu kebal daripada SOP Covid-19 yang ketat.

“Di Malaysia saja VIP yang disabitkan kesalahan jadi super star,” kata sebuah komen pengguna, Tanaraj Rajoo.

Najib ketika ini dilihat lantang menyertai Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinan pembangkang lain dalam komentar dan kritik mereka berhubung undang-undang ordina darurat yang diumumkan tersebut.

Di samping itu, Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK) turut menjadi serangannya di media sosial mendakwa imuniti kelompok di Malaysia akan ketinggalan.

Walaupun melanggar SOP, Najib turut menjelaskan kepada pihak kerajaan bahawa beliau adalah seorang yang mengikut peraturan dan berkata tidak mahu menjadi seorang yang mengamalkan konsep dua darjat.

“Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standards dalam istilah saya.

“Orang lain, parti lain, menteri-menteri saya tak tahu lah, mereka ada dua darjat itu hal mereka,” katanya.

Di bawah SOP baru, setiap pengunjung mesti mengimbas aplikasi MySejahtera, di samping perlu mendaftar suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke restoran.

Ribuan warga dikenakan denda kerana mengingkari SOP sejak pandemik melanda tahun lalu.

Kompaun yang dinaikkan baru-baru ini sehingga RM10,000 juga turut menyaksikan ratusan lagi dikenakan kompaun akibat melanggar SOP.