- Iklan -
Berita

Garis panduan tak mampu henti salah guna peraturan SOP, kata LFL

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty berkata hukuman jenayah harus setimpal dengan kesalahan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mempersoalkan kompaun RM10,000 terhadap pelanggar SOP Covid-19 kerana hukuman di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (pindaan 2021) masih lagi boleh disalahguna walaupun garis panduan telah diumumkan menteri Takiyuddin Hassan minggu lalu.

LFL dalam kenyataannya, turut berkata mereka yang diberikan saman bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal masih lagi mengikut “budi bicara pegawai penguatkuasa.

“Mereka boleh hadapi kompaun maksimum RM1,500, satu jumlah yang lebih tinggi dari gaji minimum di negara ini,” kata koordinator LFL Zaid Malek.

“Proses rayuan pun tak dapat membantu mereka kerana ia hanya mewujudkan birokrasi-birokrasi yang tidak diperlukan dan turut memungkinkan salah laku pengurusan.

“Hal ini menjadi lebih parah apabila kategori-kategori dalam senarai kesalahan tidak mempunyai makna yang jelas dan boleh menyebabkan salah faham dan pelaksanaan yang tidak konsisten.

Takiyuddin dalam sebuah sidang akhbar pada 17 Mac lalu menetapkan Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun Di Bawah Akta 342 Dan Peraturan-peraturan Di Bawahnya yang sudah pun berkuatkuasa.

Takiyuddin berkata di bawah Garis Panduan itu kesalahan ditetapkan dengan tiga kategori iaitu tinggi, sederhana dan normal, dan nilai kompaun sewajarnya dikenakan adalah mengikut kategori.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan berkata, individu atau syarikat yang dikenakan kompaun tertentu di bawah Akta 342 dan sekiranya membayar dalam tempoh seminggu atau dari hari pertama hingga hari ketujuh dari tarikh kompaun dikeluarkan, secara automatik mendapat diskaun 50%.

Zaid berkata mereka yang menerima saman dan telah membayar kompaun dengan jumlah kompaun yang termaktub dalam SOP telah pun memiliki masalah kewangan.

“Garis panduan diumumkan oleh menteri undang-undang pada 17 Mac, tiga minggu selepas ordinan diwartakan dan seminggu selepas ia dikuatkuasa adalah satu bukti yang tak dapat ditolak bahawa ia dikuatkuasa tanpa mempertimbang kesan terhadap orang awam ” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama Zaid turut berkata penalti jenayah harus seimbang dengan kesalahan yang dilakukan.

“Malang sekali menteri undang-undang, walaupun memiliki latar belakang undang-undang dan mempunyai akses ke pejabat peguam negara memilih untuk mengabaikan prinsip utama ini mengenai keseimbangan hukuman.

“Kami gesa kerajaan untuk hentikan pelaksanaan peraturan yang tidak efektif dan kurang jelas sehingga menyukarkan orang awam. Ketika kita berusaha untuk mematuhi SOP, penalti sedemikian harus setimpal dengan kesalahan dan sekirangnya gagal ia secara langsung telah mengabaikan Perlembagaan Persekutuan,” jelas Zaid lagi.