- Iklan -
Berita

Selepas dipersoalkan di Facebook, Najib dakwa Khairy cari publisiti

Najib persoal kenapa dirinya tidak boleh beri laluan kepada barisan hadapan sedangkan orang lain boleh.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menghalakan serangan media sosial kepada Khairy selepas menteri sains, teknologi dan inovasi (Mosti) itu menjelaskan buat kali kedua berhubung tuduhan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dikatakan lambat.

Khairy dalam jawapan balas yang dimuat naik di Facebook Najib menempelak bekas perdana menteri itu kerana membatalkan janji temu vaksinasi beliau yang kemudian mendapat respons Najib.

Bekas pemimpin negara itu bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa PICK tidak boleh mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada rancangannya.

Dalam hantarannya, Najib memuat naik gambar-gamar pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang memilih untuk memberikan ruang kepada barisan hadapan terlebih dahulu untuk menerima suntikan fasa pertama.

Tindakan Najib itu dilihat cuba memberitahu bahawa Khairy dan pemimpin kerajaan hanya mahukan publisiti berhubung memperlambat vaksinasi mereka bagi mendahulukan barisan hadapan.

“Entahlah.

“Orang lain boleh memberi laluan kepada front-liners untuk dapat vaksin Covid dulu tapi saya tak boleh pulak.

“Mungkin saya perlu buat sidang media terlebih dahulu kot,” katanya dalam Facebook hari ini.

Khairy yang juga menteri penyelaras PICK sebelum ini berkata beliau tidak akan menerima vaksin Pfizer dan akan mengambil vaksin Sinovac, sebuah langkah bagi memberi jaminan kepada orang ramai tentang keselamatannya.

Beliau menerima vaksin Sinovac hari ini di Hospital Rembau Negeri Sembilan.

Sebelum ini, di ruangan komen Najib, Khairy dilihat menempelak sikap Najib yang sering mengkritik jumlah vaksinasi harian namun boleh membatalkan temu janji vaksinasi yang ditetapkan pada 6 Mac 2021 di Dewan Canselori, Universiti DRB Hicom, Pekan.

“Dalam pada Datuk Seri (Najib) mempersoalkan jumlah yang rendah ini, saya turut difahamkan Datuk Seri telah membatalkan janji temu vaksinasi yang ditetapkan,” katanya menerusi ruangan komen di hantaran Facebook Najib.

“Sebelum ini saya telah beberapa kali menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Seri berkaitan jumlah vaksinasi harian tapi nampaknya, penjelasan saya mungkin tidak berjaya memuaskan hati Datuk Seri,” katanya.

Khairy juga menambah satu taklimat berkenaan vaksinasi akan diadakan kepada ahli Parlimen pada minggu depan.

“Surat jemputan telah pun dihantar dan disahkan telah diterima oleh pegawai Datuk Seri.

“Jadi saya berharap Datuk Seri dapat hadir pada hari tersebut dan boleh terus memberi pandangan atau lontarkan persoalan berkenaan PICK ini,” katanya.

Dalam pada itu Khairy turut berterima kasih kepada Najib yang sentiasa memberi teguran dan pandangan bagi memastikan PICK berjaya dilaksanakan.

“Pada masa yang sama, saya berharap Datuk Seri juga dapat membantu menggalakkan pendaftaran vaksinasi lebih-lebih lagi kepada rakyat di daerah Pekan memandangkan buat masa ini, hanya 13,020 orang penduduk (bersamaan 14.4 orang per kapita) di daerah Pekan yang telah mendaftar.

“Jangan tulis dan promosi di FB sahaja tapi turun juga di kawasan untuk menggalak dan membantu pendaftaran,” katanya.

Khairy adalah antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik penglibatan Najib dalam skandal 1MDB.

Selepas kekalahan BN pada 2018 Khairy yang merupakan pemimpin pemuda Umno melahirkan rasa kesal beliau kerana tidak terus mengkritik Najib berhubung skandal tersebut.

“Ini merupakan pengajaran buat Umno kerana selepas ini, kita kena berani menegur presiden, kena berani menegur pemimpin … dan jangan sekali-kali kita menyimpan suara sebenar rakyat daripada pemimpin,” kata Khairy dalam satu temu ramah di Astro Awani