- Iklan -
Berita

Pendengaran rayuan lucut hak jutaan ringgit 1MDB Umno, Wanita MCA bersambung 27 Mei

Wang berkenaan disita SPRM, didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP
Skandal 1MDB masih disiasat pihak berkuasa tempatan dan antarabangsa. Gambar: AFP

Pendengaran rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan lucut hak dikemukakannya terhadap beberapa entiti termasuk Umno dan Wanita MCA membabitkan wang jutaan ringgit, akan bersambung pada 27 Mei ini.

Wang berkenaan yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tarikh itu ditetapkan oleh mahkamah selepas hakim Abdul Karim Abdul Jalil menghentikan prosiding pendengaran rayuan itu berikutan terdapat perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Terdapat kecemasan, kes hari ini ditangguhkan disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan,” kata Abdul Karim yang mempengerusikan panel tiga hakim bersama Hadhariah Syed Ismail dan Abu Bakar Jais.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi ketika ditemui pemberita selepas prosiding, mengesahkan sebab penangguhan prosiding itu.

Pendakwa raya mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM192,965,413.61 milik Umno; Wanita MCA (RM300,000), Perano, sebuah syarikat yang menjual hijab, dan Binsabi Sdn Bhd yang membekalkan khemah masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250; Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RMRM138,359.60); Badan Perhubungan Umno Kedah (RM1.05 juta) dan Hattatex Trading (RM111,590).

Badan Perhubungan Umno Pahang juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 yang disita daripada badan perhubungan Umno negeri itu.

Terdahulu, panel hakim hanya sempat mendengar hujahan daripada peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar yang mewakili Badan Perhubungan Umno Pahang, peguam Khoo Guan Huat yang mewakili Habib Jewels dan peguam Thevini Nayagam, yang bertindak bagi pihak Perano dan K&Z Enterprise.

Syed Azmal, ketika berhujah berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang RM2,479,300.18 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno Pahang.

“Wang yang disita dari Umno Pahang bukan hasil daripada aktiviti haram dan berdasarkan afidavit daripada seorang pegawai penyiasat menyatakan terdapat rekod pemindahan wang dari luar negara, namun tidak menzahirkan maklumat terperinci berhubung perkara itu,” katanya.