- Iklan -
Berita

Atlet negara diberi kelonggaran jalani latihan seperti biasa, kata menteri

Menurut Reezal, tahap kecergasan, daya saing, prestasi, dan kesihatan mental atlet harus dijaga.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Padang bola tinggal sepi sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Gambar: Pexels
Padang bola tinggal sepi sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Gambar: Pexels

Selepas lebih dua bulan menjalani latihan secara kuarantin, atlet kebangsaan bakal menikmati sedikit kebebasan apabila ia tamat hari ini.

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata hampir 600 atlet merangkumi 28 jenis sukan yang menjalani latihan secara kuarantin berikutan peningkatan kes Covid-19 pada hujung tahun lepas, kini diberi kebenaran untuk menjalani latihan pusat secara terkawal.

Beliau berkata selain tahap kecergasan, daya saing dan prestasi, kesihatan mental atlet juga harus dijaga.

“Saya rasa mereka dah tepu. Jadi saya memikirkan sudah sampai tahap (atlet) diberi kelonggaran dan saya nak ambil kesempatan ini untuk ucap tahniah kepada semua atlet dan jurulatih termasuk jurulatih luar negara semuanya komited dalam menjalani latihan secara kuarantin.

“Pada saya, komitmen yang dipamerkan ini amat disanjungi. Saya berharap dengan pelepasan ini, mereka dapat menjalani latihan seperti biasa, memandangkan status negeri Selangor pun dah tukar ke perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan kadar kes Covid-19 pun dah menurun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Atlet negara menjalani latihan menerusi pendekatan kuarantin di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nilai sejak Januari.

Reezal Merican bagaimanapun mengingatkan atlet untuk terus mematuhi SOP dan norma baharu dalam menjalani latihan.