Tuesday, April 20, 2021

Rakyat Selangor paling minat nasi lemak di Malaysia

Namun, apabila usia meningkat, trend memilih makanan enak itu menurun dalam kalangan warga Malaysia.

Other News

Tinjauan terkini platform e-dagang, Oxwhite mendedahkan 29% penduduk Selangor adalah peminat sajian nasi lemak tertinggi di Malaysia.

Jumlah tersebut meletakkan Selangor mengungguli negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (16%) dan Pulau Pinang (12%).

“Kira-kira satu dari dua rakyat Malaysia memilih nasi lemak sebagai sarapan pilihan.

“Dapatan tinjauan menunjukkan bahawa nasi lemak adalah menu sarapan paling popular dalam kalangan masyarakat Malaysia,” kata sebuah kenyataan yang diedarkan syarikat itu hari ini.

Dalam tinjauan sama, rakyat Malaysia yang berasal dari Melaka dan Sarawak didapati memiliki citarasa yang berbeza.

Sebanyak 47% rakyat Melaka lebih cenderung memilih roti canai daripada nasi lemak (33%) dan siu mai (20%).

Bagi rakyat Sarawak pula, 40% daripada mereka lebih cenderung memilih roti canai dan diikuti siu mai dan nasi lemak – masing-masing pada kadar 31% dan 29%.

Bagaimanapun, tinjauan tersebut mendedahkan secara umumnya rakyat Malaysia keinginan untuk memilih nasi lemak sebagai sarapan akan semakin menurun apabila usia mereka semakin meningkat.

“Hal ini ditunjukkan oleh trend penurunan yang stabil antara mereka yang berumur  21-30, 31-40, 41-50 dan juga daripada kategori umur 51 tahun ke atas, masing-masing turun dari 40%, 37%, 13% dan 11%,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut pengasas Oxwhite CK Chang hal ini mungkin boleh dikaitkan dengan faktor kesihatan.

“Seiring bertambahnya usia, kita menjadi semakin peka dalam membuat pilihan makanan yang sihat,” kata beliau dalam kenyataan yang sama.

Oxwhite adalah jenama gaya hidup e-dagang yang beroperasi menggunakan model “terus kepada pengguna” dengan memberikan alternatif akses mudah bagi membeli jenama mewah dengan mengekalkan kualiti premium pada kos yang rendah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles