- Iklan -
Berita

Mampukah PKR Sarawak bangkit semula?

Dengan ketiadaan pemimpin berkarisma, PKR hadapi cabaran besar berdepan PRN Sarawak.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
PKR Sarawak hadapi krisis kepimpinan di ambang PRN Sarawak. Gambar: AFP
PKR Sarawak hadapi krisis kepimpinan di ambang PRN Sarawak. Gambar: AFP

Dilanda badai pembelotan dan khianat, PKR Sarawak kini mula merancang persediaannya untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang bakal menjelang.

Namun penganalisis dan pemerhati politik Sarawak tidak yakin penubuhan “council of elders” adalah penyelesaian terbaik bagi PKR negeri itu.

Penganalisis berkata apa yang tidak ada dalam PKR pada ketika ini ialah pemimpin yang kuat dan berpengaruh.

Dalam tempoh setahun, dua pemimpin PKR negeri keluar daripada parti itu.

Veteran politik, Baru Bian juga turut mengumumkan keluar parti selepas krisis politik 2020, sementara baru-baru ini, ahli Parlimen Julau Larry Sng, yang ditugaskan memimpin PKR Sarawak memutuskan untuk menjadi bebas dalam sebuah pengumuman mengejutkan.

Daripada sebanyak enam ahli Parlimen parti itu di Sarawak, kini PKR hanya tinggal ahli Parlimen Miri, Michael Teo.

Penganalisis politik Sarawak Jayum Jawan berkata terdapat kekurangan komunikasi antara kepimpinan tertinggi parti dengan pemimpin negeri itu.

Menurutnya lagi, pelantikan “council of elders” dalam PKR mengesahkan perkara ini tersebut.

“Ini boleh dilihat sebagai kegagalan pimpinan pusat mengenal pasti individu yang mampu memimpin PKR di Sarawak,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jayum berkata, pemimpin PKR di semenanjung masih tidak dapat membawa parti itu “melangkaui Lembah Klang”.

Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir turut bersetuju PKR Sarawak pada ketika ini terdesak memerlukan seorang pemimpin.

Katanya, penubuhan “council of elders” hanya langkah sementara untuk menangani kemelut tersebut.

“Mereka harus membuat strategi yang tepat. Jika tidak, mereka mungkin akan jatuh pada kedudukan terendah dalam PRN akan datang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Jeniri turut menambah, PKR kini berada dalam “huru-hara” dan di “kedudukan paling lemah” sejak kemenangan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Oleh kerana krisis kepemimpinan, ia turut melemahkan jentera akar umbi dan kehilangan pemimpin yang paling berpengaruh, Baru Bian. Sekarang ini ia tidak mempunyai ketua dan halatuju.”

Jeniri turut berkata dalam keadaan sekarang, parti itu bakal menghadapi krisis buruk dan meramalkan dalam PRN Sarawak yang bakal menjelang, PKR tidak akan menang walaupun satu kerusi.

“Ini adalah pertempuran berat bagi mereka. Tidak ada kepimpinan yang berpengaruh dan berkarisma di Sarawak untuk mengemudi parti itu. Kalau boleh saya katakan, sangat sukar bagi mereka untuk menang walaupun satu kerusi.”

Jeniri berkata, PKR mesti keluar dari budaya berpuak-puak dalam memilih pemimpin negeri seterusnya.

“Pemimpinnya mesti mempunyai integriti yang sangat tinggi, seseorang yang tahu bagaimana menganalisis masalah dan dapat membawa aspirasi rakyat, menangani masalah di lapangan,” tambahnya.

Sementara itu, Jayum turut menambah bahawa jika PKR ingin mulakan semula dalam membangunkan parti ketika ini, mungkin ia sudah sedikit terlewat.

Beliau berkata idea “council of elders” hanya muncul selepas kepemimpinan nasional PKR gagal menamakan pengganti untuk mengetuai Sarawak.