Saturday, November 27, 2021

Belajar bahasa isyarat agar OKU pekak dan bisu tidak terpinggir

Pengetahuan dan kesedaran terhadap pentingnya penggunaan bahasa isyarat masih kurang dalam kalangan rakyat negara ini.

Other News

Eamienor Zakiah Md Zuki yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pekak, sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat barangan ketika membeli-belah.

Kadang-kala dia akan menggunakan bahasa isyarat untuk mengetahui sama ada kakitangan berkenaan memahami kehendaknya.

“Apabila menyedari saya menggunakan bahasa isyarat, mereka akan cuba mengelak dan meminta bantuan daripada pekerja lain.

“Saya akan cuba untuk mendapatkan mereka semula dan meminta untuk berkomunikasi seperti biasa sehinggalah keadaan memaksa saya akan menaip di telefon bimbit,” katanya sewaktu ditemui MalaysiaNow.

Ini adalah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh OKU yang pekak dan bisu di negara kita.

Dilaporkan hanya terdapat 95 jurubahasa isyarat yang berdaftar di bawah MFD berbanding 40,389 OKU pendengaran yang berdaftar dengan JKM pada tahun lepas.

Eamienor yang juga setiausaha Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) mengatakan pengetahuan dan kesedaran terhadap pentingnya penggunaan bahasa isyarat masih kurang dalam kalangan rakyat negara ini.

Katanya, malah golongan ibu bapa juga ada mengambil sikap lepas tangan dengan menyerahkan tanggungjawab mendidik anak mereka yang pekak dan bisu kepada guru.

“Sebagai bekas guru di Sekolah Kanak-kanak Pekak Selangor selama sembilan tahun, ada kalangan ibu bapa yang tidak mempelajari teknik bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan anak mereka.

“Menyerahkan segalanya kepada guru untuk berbuat demikian atau mengharapkan keajaiban bahawa anak mereka boleh mendengar semula atau melakukan pembedaran implan koklea yang berkemungkinan menelan belanja sekitar RM100,000 atau lebih.

“Ibu bapa seharusnya perlu positif menerima anak masing-masing biarpun dalam apa jua keadaan kerana itu amanah dan tanggungjawab, luangkan masa pelajari dan memahami bahasa isyarat agar kanak-kanak ini tidak merasakan seperti dipinggir daripada komuniti,” katanya.

Usaha kembangkan bahasa isyarat

Apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan untuk membendung jangkitan Covid-19, MFD menyediakan kursus bahasa isyarat secara dalam talian, salah satu inisiatif diperkenalkan kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang dilancarkan menterinya, Rina Mohd Harun baru-baru ini.

Melalui program MySign, kursus bahasa isyarat secara dalam talian menerusi Facebook Institut Sosial Malaysia (ISM), orang ramai diajar termasuk organisasi seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Microsoft Malaysia.

Antara tenaga pengajarnya ialah Helen Low merupakan salah seorang tenaga pengajar bahasa isyarat di MFD yang sudah mempunyai 20 tahun pengalaman.

Low bagaimanapun berkata pembelajaran secara dalam talian agak mencabar kerana bukan semua orang mempunyai kelengkapan mencukupi.

“Seperti komputer riba atau telefon bimbit bersesuaian, ini akan menyukarkan sesi pembelajaran,” kata Low kepada MalaysiaNow.

“Situasi ini lebih menyusahkan apabila ingin memanggil pelajar untuk menjawab soalan, dalam keadaan tidak boleh bercakap saya perlu mengeja nama mereka dengan bahasa isyarat sehingga mereka menyedari saya memanggil mereka”.

Low mengajar lebih 10 pelajar pada satu-satu masa.

Dengan semangat untuk memperkasakan kemahiran penggunaan bahasa isyarat dalam kalangan masyarakat agar golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pendengaran atau pertuturan, Low meneruskan cabaran itu.

Pengarah Eksekutif MFD Mohamad Sazali Shaari turut terkilan apabila masyarakat masih belum peka terhadap kepentingan penggunaan bahasa isyarat terhadap kumpulan OKU.

“Masyarakat bertanggapan bahasa isyarat ini merupakan bahasa yang gerakan pentomin atau seperti polis trafik menggunakan gerakan tangan sewaktu mengawal lalu lintas.

“Salah faham dalam pengertian bahasa isyarat itu perlu diubah dengan adanya kesedaran terhadap hak kesamarataan kepada semua individu mengikut Perlembagaan Malaysia perkara 8.

“Apabila adanya pembangunan kita juga ingin pemikiran yang berbeza iaitu tidaklah berasaskan kepada simpati tetapi lebih kepada hak dan kesamarataan.

Bahasa isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa rasmi orang pekak di Malaysia dan termaktub dalam Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).

Fariza Deraman yang 10 tahun berkhidmat dengan MFD sebagai jurubahasa isyarat memberitahu ramai individu cuba mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan individu pekak dan bisu.

“Kadang-kala saya akan bersama mereka ini di tempat umum seperti restoran makanan segera untuk melihat bagaimana mereka berkomunikasi.

“Awalnya mereka akan membuat ekspresi terkejut kerana mungkin tidak menyangka orang pekak berani ke tempat awam.

“Masyarakat perlu sedar mereka yang OKU ini sudah berani untuk bergerak dan berdikari sendiri tanpa perlu bantuan orang lain,” kata Fariza yang bertugas sebagai jurubahasa isyarat di saluran Bernama TV.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles