- Iklan -
Berita

Umno tetap ‘tak mahu Anwar’, kata pemimpin bahagian menafikan kenyataan presiden PKR

Pemimpin bahagian Umno tidak memiliki keinginan untuk berpakat dengan bekas timbalan presiden Umno tersebut.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kebelakangan ini, Anwar Ibrahim sering memberikan komen mengenai Umno sehingga menimulkan rasa tidak senang dalam kalangan Umno. Gambar: Bernama
Kebelakangan ini, Anwar Ibrahim sering memberikan komen mengenai Umno sehingga menimulkan rasa tidak senang dalam kalangan Umno. Gambar: Bernama

Pemimpin bahagian Umno tidak berpuas dengan tindak tanduk Presiden PKR Anwar Ibrahim yang kebelakangan ini yang sering memberikan komen berkenaan parti itu.

Mereka berkata Umno tetap berpegang teguh kepada kesepakatan sebelum ini untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan tidak memiliki keinginan untuk berpakat dengan bekas timbalan presiden Umno tersebut.

Kenyataan pemimpin bahagian Umno itu menafikan kenyataan Anwar yang mengesahkan bahawa PKR telah mengadakan siri rundingan bersama pimpinan Umno, sebuah kenyataan yang mengesahkan sokongan yang ditunjukkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak terhadap ketua pembangkang itu.

“Dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (Umno), dan mereka lebih faham kita,” kata Anwar dalam sebuah temubual baru-baru ini.

Namun Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar berkata, kenyataan Anwar itu bertujuan untuk memecah belahkan parti itu.

Rizalman berkata, kenyataan Anwar itu juga turut bertujuan untuk menghilangkan keyakinan ahli akar umbi terhadap presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya percaya kenyataan ini hanya sebagai cubaan mengambil kesempatan atas apa yang berlaku dalam Umno,” katanya kepada MalaysiaNow.

Beliau menambah bahawa ahli akar umbi Umno tetap dengan pendirian yang diputuskan majlis kerja tertinggi untuk menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz berkata, rata-rata pemimpin dan ahli parti itu menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Anwar.

“Umno yang mana? Bukan semua dalam Umno yang rasa begitu

“Mungkin Anwar merujuk kenyataan pemimpin Umno tertentu yang hampir sama dengan kenyataan dia. Maksud,” kata Faisal dipercayai merujuk kenyataan hampir serupa dikeluarkan pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid dan Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) sehingga sempat menjadi bahan ketawa di media sosial.

Kenyataan Zahid dan Anwar itu dilihat hampir sama ketika menggesa sidang Parlimen diadakan ketika darurat.

Tidak lama selepas ia menjadi tular kerana ditertawakan, BN mengumumkan “ketua pegawai media” digantung dan kenyataan itu ditarik semula.

“Maksud, lenggok bahasa dan perkataan pun hampir sama, jadi dia kata mungkin itu yang dia maksudkan sefahaman dan makin serasi,” kata Faisal lagi.

Faisal turut menambah bahawa majoriti pemimpin dan ahli Umno masih memegang kepada keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Kalau tak percaya minta MKT bawa usul sokong dan bersama Anwar dalam PRU15, kita tengoklah reaksi perwakilan dan ahli Umno,” katanya.

Naib Ketua Umno Bahagian Sekijang Anuar Manap melihat Anwar semakin terdesak untuk menjadi perdana menteri terutamanya beberapa ahli Parlimen PKR keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Presiden PKR dilihat semakin terdesak untuk meraih sokongan sehingga terpaksa meminta Umno bersama dengannya.

“Isu ‘I have number’ dulu pun berkait dengan sokongan ahli Parlimen Umno dan ternyata dakwaan beliau meleset,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya apa yang dilakukan Anwar hanyalah untuk menarik perhatian terhadap dirinya yang sudah kehilangan kepercayaan, bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi parti, malah dalam kalangan akar umbi PKR.

Tahun ini sahaja, PKR kehilangan tiga ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong dan Ahli Parlimen Julau Larry Sng meninggalkan parti itu pada Februari.

Terbaru, Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jayakumar yang juga naib presiden PKR turut meninggalkan parti itu untuk menyokong kerajaan PN memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.