- Iklan -
Berita

Tiga negeri berstatus PKPP Jumaat ini

Enam negeri dan wilayah kekal dengan status PKPB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ismail Sabri berkata kini hanya enam negeri dan wilayah sahaja yang masih kekal berstatus PKPB. Gambar: Bernama
Ismail Sabri berkata kini hanya enam negeri dan wilayah sahaja yang masih kekal berstatus PKPB. Gambar: Bernama

Status perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di tiga negeri – Kedah, Perak dan Negeri Sembilan, ditukar kepada PKP pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata enam negeri dan wilayah kekal dengan status PKPB.

Pertukaran status di tiga negeri itu dan pengekalan status PKPB di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan berkuat kuasa Jumaat ini hingga 31 Mac manakala bagi Sarawak, status PKPB itu bermula hari ini hingga 29 Mac.

“Bagaimanapun, PKPP di Kedah tidak melibatkan daerah Kuala Muda dan Kulim kerana masih ada kluster aktif, selain Seremban di Negeri Sembilan juga masih kekal dengan PKPB,” katanya pada sidang media perkembangan PKP hari ini.

Selain itu, beliau berkata tujuh negeri dan wilayah iaitu Perlis, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan masih kekal dengan pelaksanaan PKPP.

Rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti di gelembung pelancongan manakala rentas daerah dibenarkan kecuali bagi Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 134 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) dengan 127 dikompaun manakala tujuh lagi direman.

Antara kesalahan adalah gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri atau pelanggan (36), tidak memakai pelitup muka (31), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (26), tiada penjarakan fizikal (20), dan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (17).

Bagi kawalan sempadan negara, beliau berkata 10 pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng selain tiga kenderaan darat dan sebuah bot dirampas.

Selain itu, seramai 4,957 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan 71 daripadanya adalah positif dan sehingga kini 623,443 daripada kumpulan itu telah menjalani ujian melibatkan 32,218 majikan.

Manakala seramai 613 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara semalam dan mereka telah dikuarantin wajib.