- Iklan -
Berita

Masyarakat antarabangsa terus kecam tindakan keras junta terhadap rakyat Myanmar

Ketika ini, tunjuk perasaan terus merebak di jalan raya bagi menuntut demokrasi dipulihkan walaupun tindakan keras junta tentera turut meningkat.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Salah seorang penunjuk perasaan ditembak dalam siri bantahan rakyat Myanmar terhadap junta. Gambar:AFP
Salah seorang penunjuk perasaan ditembak dalam siri bantahan rakyat Myanmar terhadap junta. Gambar:AFP

Kecaman masyarakat antarabangsa terhadap junta Myanmar terus meningkat selepas sekurang-kurangnya 11 penunjuk perasaan anti kudeta terbunuh di Myanmar pada Isniin.

Ketika ini, tunjuk perasaan terus merebak di jalan raya bagi menuntut demokrasi dipulihkan walaupun tindakan keras junta tentera turut meningkat.

PBB, Amerika Syarikat (AS), China dan Britain mengutuk keganasan yang dilaporkan pelbagai media.

Menurut PBB tunjuk perasaan di Myanmar telah meragut sekurang-kurangnya 138 nyawa “penunjuk perasaan aman” termasuk wanita dan kanak-kanak. .

Pembunuhan paling dahsyat terjadi pada Ahad lalu setelah lebih dari 30 orang penunjuk perasaan terbunuh ketika pertempuran di antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, pembunuhan dahsyat itu tidak menghentikan kemaraan penunjuk perasaan yang keluar semula pada hari Isnin bagi membantah pemerintahan junta.

Mereka yang terbunuh pada Isnin didapati telah ditembak di beberapa lokasi di negara itu.

“Dua lelaki terbunuh ditembak dan enam lagi cedera,” kata seorang saksi di bandar Aunglan wilayah Magway kepada AFP.

Saksi itu turut berkata mangsa telah ditembak di bahagian dada.

“Dia betul-betul di sebelah saya. Yang seorang lagi ditembak di bahagian kepala,” katanya lagi.

“Junta jawab gesaan untuk pulihkan demokrasi di Burma dengan peluru,” kata jurucakap Jabatan Negara AS, Jalina Porter kepada pemberita pada Isnin.

“AS akan terus gesa semua negara untuk mengambil tindakan konkrit bagi menentang kudeta dan kekerasan yang berlaku,” tambahnya.

Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres juga turut meminta masyarakat antarabangsa “termasuk negara-negara serantau, untuk bersolidariti dengan rakyat Myanmar dan aspirasi demokratik mereka,” kata jurucakapnya, Stephane Dujarric pada Isnin.

Wakil PBB di Myanmar Christine Schraner Burgener juga turut mengecam pertumpahan darah di Myanmar pada hari Ahad.

Sementara Britain pula berkata bahawa pihaknya “terkejut” dengan kekerasan yang dilakukan junta “terhadap orang yang tidak bersalah”.