- Iklan -
Berita

Ketua penerangan Umno persoal kerjasama dengan Anwar

Shahril Hamdan ingatkan pimpinan jangan menari ikut rentak orang lain.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Shahril Amdan berkata keputusan PAU 2019 masih terpakai bahawa tidak akan menerima kerjasama dengan Anwar Ibrahim. Gambar: Facebook
Shahril Amdan berkata keputusan PAU 2019 masih terpakai bahawa tidak akan menerima kerjasama dengan Anwar Ibrahim. Gambar: Facebook

Pemimpin Umno mempersoalkan isu kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan mengingatkan parti itu tidak perlu menari mengikut rentak orang lain.

Ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata keputusan parti itu untuk menolak kerjasama dengan Bersatu tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.

Shahril turut menegaskan keputusan dasar Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi Umno berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

“Jika DS Anwar Ibrahim masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan Umno, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

“Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, disamping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat,” kata Shahril.

Anwar baru-baru ini mengakui PKR dan Umno telah mengadakan beberapa rundingan tentang kemungkinan bekerjasama selepas mendapat sokongan daripada kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak.

Kenyataan mereka berdua dilihat sebagai penjajaran baru politik bersama pemimpin PKR tersebut.

“Dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (Umno), dan mereka lebih faham kita,” kata Anwar dalam sebuah temubual baru-baru ini.