Monday, August 2, 2021

Keputusan kalimah ‘Allah’ bukan bermakna Kristian menang ke atas Islam

Uskup Danald Jute berkata keputusan mahkamah itu adil dan saksama kerana mengambil kira hakikat masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak sejak beberapa generasi menggunakan kalimah 'Allah'.

Other News

Seorang pemimpin gereja di Sarawak berusaha untuk meredakan kehangatan isu agama berhubung keputusan mahkamah baru-baru ini yang membenarkan penganut Kristian di negeri tersebut menggunakan kalimah “Allah”.

Beliau berkata, keputusan itu tidak boleh dilihat sebagai kemenangan oleh satu kumpulan ke atas kumpulan yang lain, walaupun kerajaan persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

“Ia bukan kemenangan bagi orang Kristian ke atas orang Islam,” kata Danald Jute, uskup gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei, kepada MalaysiaNow.

“Ini adalah penghakiman yang adil dan saksama di mana hakim berkata tidak dapat dipertikaikan bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak, sejak beberapa generasi, menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam amalan agama mereka.”

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu menyatakan penganut agama Kristian dibenarkan menggunakan perkataan “Allah” termasuk tiga perkataan Arab lain – “Baitullah”, “Kaabah” dan “solat” – dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh seorang penganut Kristian warga Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memperjuangkan perkara itu di mahkamah sejak 13 tahun lalu.

Nor Bee dalam keputusannya berkata arahan yang dikeluarkan kementerian dalam negeri pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan itu tidak selari dengan undang-undang dan tidak rasional.

Beliau juga berkata perkataan-perkatan tersebut boleh digunakan oleh masyarakat Kristian bagi tujuan pengajaran kerana ia digunakan di negeri itu lebih dari 400 tahun.

“Penggunaan kata-kata itu tidak akan mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Bukan masalah di Sarawak

Di Sarawak sendiri, penggunaan kalimah “Allah” oleh penganut Kristian tidak pernah menjadi masalah.

Ramai komuniti Kristian di negeri yang sememangnya menggunakan bahasa Melayu ketika di gereja atau ritual ibadah.

Dayang Khamsiah Awang Omar, seorang anak Melanau dari bandar Oya, berkata penggunaan kalimah “Allah” sebagai nama Tuhan dalam masyarakat Kristian memang sudah lama digunakan sejak beberapa generasi.

“Sebenarnya, sesiapa sahaja di Sarawak bebas memanggil Tuhan mereka dengan perkataan ‘Allah’”, katanya.

“Bagi orang Melanau, penggunaan ‘Allah’ tidak semata-mata untuk agama tertentu,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Rakan-rakan Cina pun memanggil Tuhan mereka ‘Tuhan Allah’. Lagipun, itu antara anda dan Tuhan,” tambahnya.

Beliau bahkan berkata penggunaan “bin” dan “binti” pada nama seseorang pun tidak semestinya menunjukkan mereka sebagai penganut Islam kerana orang Kristian Melanau juga menggunakan perkataan tersebut pada nama mereka.

Bagaimanapun, Putrajaya memfailkan rayuan terhadap penghakiman tersebut pada 15 Mac lalu. Ia turut menyatakan “ketidakpuasan hati” dengan penghakiman Nor Bee.

“Pihak perayu mengajukan permohonan semakan terhadap Mahkamah Rayuan berhubung keseluruhan keputusan itu,” kata notis rayuan kerajaan itu.

PAS dan Umno juga turut menggesa agar keputusan tersebut dirujuk kepada Mahkamah Rayuan, dan memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitan mereka.

Jangan politikkan isu ‘Allah’

Namun Danald berkata bahawa isu “Allah” tidak boleh dipolitikkan.

Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi adalah “kemenangan bagi akal budi”, di mana semua orang harus belajar menerima dan menghormati latar belakang individu lain.

“Keputusan itu adalah penghakiman yang adil berdasarkan undang-undang,” tambahnya.

“Ini adalah kemenangan akal budi yang harus diterima dan dihormati oleh semua orang, tanpa mengira latar belakang, menuju ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Kita tidak boleh membiarkan tindakan pecah belah dan permusuhan memecah belahkan kita sebagai sebuah negara. Sekiranya kita tidak menghormati keputusan mahkamah, negara kita akan menuju kehancuran,” ujarnya lagi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles