Wednesday, April 21, 2021

Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat terawih dibenarkan, kata menteri kanan

Bagaimanapun ia tertakluk kepada SOP yang ketat.

Other News

Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi menyambut ketibaan Ramadan pada tahun ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang turut memaklumkan solat terawih juga dibenarkan.

“Setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kita membenarkan ketiga-tiga aktiviti ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya pada sidang media perkembangan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi SOP Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, beliau berkata peniaga serta pengunjung perlu mematuhi SOP termasuk jarak antara gerai, pintu masuk dan keluar berbeza, mengimbas suhu, aplikasi MySejahtera serta SOP lain yang ditetapkan.

SOP itu akan dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri masing-masing.

Waktu operasi Bazar Ramadan ialah dari 3 petang hingga 8 malam manakala bagi Bazar Aidilfitri pula, dari 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Bagi solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara, jumlah kehadiran jemaah adalah tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri.

Dalam pada itu, Ismail berkata pergerakan keluar masuk pelajar dari kawasan universiti atau institusi pendidikan pula tertakluk kepada kebenaran pihak institusi terbabit.

“Memang mereka ada kuasa autonomi demi menjaga keselamatan pelajar sama seperti pengurusan kediaman, jika ada sekatan keluar pelajar atau masuk orang luar, universiti berhak untuk mengadakan peraturan ketat demi menjaga keselamatan pelajar,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles