- Iklan -
Berita

Anwar tak mahu perbesar isu berbincang dengan Umno, jamin tiada lagi lompat parti

Perbincangan pemimpin PKR dan Umno masih berjalan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Anwar Ibrahim berkata beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja.
Anwar Ibrahim berkata beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja.

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata perbincangan partinya dengan Umno masih di peringkat awal dan selain tidak mahu memperbesarkan perkara tersebut.

“Ada beberapa perbincangan awal di antara pimpinan PKR dan Umno,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Namun Anwar berkata adalah hak beliau untuk mengadakan perbincangan dengan sesiapa sahaja.

“Sebelum ini pun saya berbincang dengan Dr Mahathir (Mohamad),” katanya kepada pemnerita ketika spekulasi kuat mengatakan Anwar akan mengumumkan PKR dan Umno sedang dalam perbincangan untuk menjalin kerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak menafikan kemungkinan untuk kerjasama. Tetapi janganlah mengandaikan bahawa ada persefahaman (yang telah dicapai),” katanya.

Anwar turut menambah sebarang kerjasama antara PKR dan Umno akan dibuat berdasarkan “prinsip bersama”, seperti status Islam, kedudukan Raja Melayu dan bahasa kebangsaan.

“Kami tidak akan berganjak dengan prinsip ini,” katanya.

“Kalau mereka setuju, ahlan wa sahlan,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut berkata bahawa PKR tetap komited dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan di atas prinsip utama yang telah dipersetujui sejak awal penubuhan gabungan PH

Tidak ada lagi lompat parti

Selain itu, Anwar turut menolak spekulasi bahawa akan lebih ramai ahli Parlimen akan keluar dari PKR berikutan anggotanya baru-baru ini mengisytiharkan diri mereka keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra kerajaan PN.

Beliau menegaskan bahawa Perikatan Nasional telah kehilangan majoriti untuk memerintah.

“Sekarang mereka dapat tiga. Walaupun mereka dapat enam pun, tetap tidak cukup untuk PN capai majoriti,” katanya, merujuk kepada ahli parlimen PKR dari Kuala Langat, Tebrau dan Julau yang keluar dari parti itu baru-baru ini.

Anwar turut menambah bahawa ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan 35 Ahli Parlimen PKR, Bagaimanapun beliau berkata bahawa mereka semua telah memberikan komitmen untuk terus kekal dalam PKR.

Dalam pada itu, ketua pembangkang itu juga mengulangi dakwaan bahawa agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan sebagai senjata untuk memeras ugut ahli politik untuk melompat parti.

“Sekiranya mereka melompat, siasatan akan ditutup. Jika tidak, akan terus diseksa,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya.

Anwar turut berkata beliau sedang merancang untuk bertemu dengan ketua SPRM, Azam Baki mengenai perkara tersebut.