- Iklan -
Berita

Tuan Ibrahim yakin kemelut politik Bersatu-Umno terungkai

Kemelut politik berlaku di antara kedua-dua parti itu selepas Umno memutuskan untuk tidak mendukung Bersatu pada pilihan raya akan datang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Tuan Ibrahim percaya kemelut politik Umno-Bersatu boleh diselesaikan secara baik. Gambar: Bernama
Tuan Ibrahim percaya kemelut politik Umno-Bersatu boleh diselesaikan secara baik. Gambar: Bernama

PAS yakin masih ada peluang untuk konflik di antara Umno dan Bersatu diselesaikan secara baik.

“Cahaya di hujung terowong masih ada,” kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man yang ditanya jika perkembangan terkini kemelut Umno-Bersatu membimbangkan parti itu.

Menteri alam sekitar dan air itu ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan kejadian tebing runtuh di Dataran Air Muleh, Kampung Pohon Celagi hari ini.

Mengenai mesyuarat PAS bersama Umno minggu lepas, Tuan Ibrahim berkata antara yang dibincangkan ialah langkah bagi mengeratkan lagi kerjasama Muafakat Nasional yang diwujudkan oleh kedua-dua parti tersebut.

“Mesyuarat berkenaan juga menyentuh soal pilihan raya umum tetapi secara tidak langsung sahaja,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar bertindak keluar PKR bagi mengelakkan tindakan undang-undang berhubung kes rasuah, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak akan bertolak ansur terhadap kes rasuah.

“Bagaimanapun, jangan kata bila lompat parti, terus membuat dakwaan sebegitu kerana ahli Parti Amanah Negara (Amanah) dulu pun ramai yang lompat parti (keluar dari PAS),” katanya.

Sabtu lepas, Xavier yang juga bekas menteri air, tanah dan sumber asli mengumumkan peletakan jawatan sebagai naib presiden PKR serta keluar parti itu kerana kecewa dengan situasi politik semasa negara.

Beliau juga membuat keputusan menjadi wakil Bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di Parlimen.