- Iklan -
Berita

Kerajaan Perak pertimbang adakan pertemuan dengan 59 Adun

Taklimat boleh diberikan kepada kesemua Adun mengenai perancangan yang telah dan sedang dilakukan kerajaan negeri ketika ini

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Saarani Mohamad berkata kesemua Adun boleh memberikan maklum balas dan pandangan mengenai kerajaan negeri dalam pertemuan di luar sidang DUN. Gambar Bernama
Saarani Mohamad berkata kesemua Adun boleh memberikan maklum balas dan pandangan mengenai kerajaan negeri dalam pertemuan di luar sidang DUN. Gambar Bernama

Kerajaan negeri Perak sedia mempertimbangkan cadangan pihak pembangkang supaya pertemuan antara 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) diadakan, bagi menggantikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak boleh dilaksanakan semasa tempoh darurat.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, barisan pentadbiran kerajaan negeri boleh memberikan taklimat kepada kesemua Adun mengenai perancangan yang telah dan sedang kerajaan negeri lakukan ketika ini, antaranya berkaitan status kewangan dan perbelanjaan serta hasil pungutan cukai.

“Bagaimanapun, pertemuan antara Adun tidak perlu dibahaskan dalam Persidangan DUN, hanya adakan taklimat biasa kita boleh buat di hotel (Hotel Casuarina) atau di Dewan Bankuet.

“Pertemuan itu nanti tidak perlu menggunakan Speaker, kerana tidak mahu ia disalah erti atau diputar belit oleh mana-mana pihak, seolah-olah kita mengadakan sidang DUN secara haram,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi cabutan kerja undi Jabatan Kerja Raya Perak yang turut dihadiri Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Zolkafly Harun di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Saarani berkata dengan adanya pertemuan itu nanti, kesemua Adun boleh memberikan maklum balas dan pandangan mengenai kerajaan negeri dan seterusnya pentadbiran kerajaan negeri akan dapat memperbaiki prestasi.

Semalam, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Asmuni Awi mencadangkan persidangan di antara Adun di negeri ini diadakan, menggantikan sidang DUN yang tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh darurat.

Asmuni berkata, persidangan yang dicadangkan itu sama sidang DUN namun tidak mengguna pakai aturan rasmi sidang DUN seperti penggunaan cokmar dan cadangan itu dilihat sebagai pilihan yang boleh difikirkan, bagi memastikan perbincangan mengenai masalah rakyat dapat diteruskan walaupun dalam tempoh darurat.