Sunday, April 18, 2021

DAP nafi wujud ‘pengundi hantu’ di konvensyen Perak

Anthony Loke sifatkan dakwaan wujud pengundi hantu sebagai tidak berasas.

Other News

Dakwaan wujudnya ‘pengundi hantu’ pada Konvensyen DAP Perak ke-19 sehingga mencetuskan insiden kekecohan pada konvensyen itu semalam adalah tidak berasas, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaannya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata semua proses pemilihan kepimpinan parti DAP di semua peringkat sentiasa dijalankan dengan telus tanpa memihak kepada mana-mana individu dan insiden tersebut tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana persidangan DAP.

“Dakwaan berkenaan ‘pengundi hantu’ adalah tidak berasas sama sekali. Senarai perwakilan untuk konvensyen biasa negeri adalah disahkan oleh bahagian organisasi, ibu pejabat kebangsaan DAP.

“Setiap wakil yang layak untuk hadir ke konvensyen biasa negeri berhak untuk mengundi selagi proses pengundian belum ditutup oleh pengurus pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, berlaku sedikit kekecohan sewaktu Konvesyen DAP Perak ke-19 di Ipoh, apabila didakwa wujudnya pengundi hantu yang akan memilih ahli ke Jawatankuasa Negeri dan isu tempoh pengundian yang tiba-tiba dilanjutkan.

“Saya menyeru setiap anggota parti untuk menghormati proses pemilihan parti, menerima sebarang keputusan pemilihan dengan hati yang terbuka dan sentiasa menjunjung perlembagaan parti yang menjadi asas kepada perjalanan serta fungsi parti,” kata Loke.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles