- Iklan -
Berita

Bekalan darah di Pusat Darah Negara berkurangan akibat Covid-19

Jumlah beg darah yang diperoleh oleh Pusat Darah Negara bagi tahun 2020 berkurangan sebanyak 14.3%.

Fadila Awaludin
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas Inventori Pusat Darah Negara mengambil bekalan darah merah untuk diberikan kepada pihak hospital.
Petugas Inventori Pusat Darah Negara mengambil bekalan darah merah untuk diberikan kepada pihak hospital.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak Mac tahun lalu untuk mengekang penularan Covid-19 menyebabkan bekalan darah di Pusat Darah Negara atau di tabung darah negeri berkurangan.

Pada tahun 2019 secara purata Pusat Darah Negara berjaya memperoleh sekitar 199,721 beg darah manakala bagi tahun lalu, mereka hanya mengumpul sebanyak 171,106 beg darah sekali gus menyebabkan penurunan sebanyak 28,615 atau 14.3%.

Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara, Dr Tun Maizura Mohd Fathullah berkata penglibatan masyarakat dalam menderma darah masih lagi rendah bagi memenuhi keperluan pesakit di seluruh negara.

“Amalan menderma darah ini sepatutnya dilakukan secara konsisten pada setiap tiga atau empat bulan dengan kadar sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun selain dapat memastikan stok darah konsisten serta berada pada paras selamat,” katanya ketika ditemui MalaysiaNow.

Katanya, secara keseluruhan, purata 2,000 beg darah diperlukan diperlukan di seluruh Malaysia bagi memenuhi keperluan 1,000 pesakit setiap hari.

Katanya, bagaimanapun terdapat peningkatan dalam derma darah sejak kerajaan memberikan kelonggaran kepada PKP dengan memperkenalkan perintah kawalan pergerakan bersyarat.

Bangga aktif menderma darah

Penderma darah Muhd Azim Ashaal, Leng, dan Abdul Qayyum Manan Mustafa bangga menjadi penderma darah yang aktif di pusat darah negara.

Ketiga-tiga mereka berkongsi tujuan yang sama iaitu membantu pusat darah negara memiliki kuantiti simpanan bekalan darah yang mencukupi.

“Niat saya untuk menderma darah ini kerana bimbang kita mempunyai bekalan darah yang kurang dan menyebabkan kesukaran bagi membantu pesakit yang memerlukan,” kata Leng, seorang wanita berusia 33 tahun kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, Qayyum yang merupakan seorang penjawat awam memberitahu MalaysiaNow dia akan meluangkan masa untuk melakukan aktiviti menderma plasma setelah menjadi penderma darah aktif selama lima tahun.

“Apabila dimaklum oleh pihak pusat darah negara mengenai adanya pendermaan plasma selain darah, saya fikir sudah sampai masanya untuk terlibat dalam program tersebut,” katanya.

Bagi Azim pula, penglibatannya sebagai penderma darah secara tidak langsung dapat membantunya mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus bebas menjadi perokok tegar sejak beberapa tahun lalu.

“Untuk menderma darah ini saya perlu menjaga kesihatan diri, amalkan gaya hidup sihat dan makan makanan yang kaya zat besi bagi memastikan kualiti darah terjamin serta terbaik buat pesakit,” katanya yang menyifatkan aktiviti ini sebagai amal jariah.

Biarpun ada pihak yang prihatin tetapi tidak kurang juga kepada individu yang masih mempercayai aktiviti derma darah akan mengubah fizikal sehingga menyebabkan penambahan berat badan mendadak, kata Maizura.

Katanya, sikap itu masih tidak mampu dihakis meskipun aktiviti derma darah ini dipercaya telah wujud sejak tahun 1955 bermula dengan sukarelawan Palang Merah British.

Menurut Maizura, kajian mendapati menderma darah dapat membakar sehingga 650 kalori, namun ia bergantung kepada jumlah isipadu darah yang didermakan.

“Pada masa yang sama, pendermaan darah secara tetap dan berkaladapat memelihara kesihatan kardiovaskular, mengurangkan kepekatan darah dan pengumpulan zat besi berlebihan di jantung yang merupakan faktor risiko serangan jantung.

“Budaya pendermaan darah juga boleh memelihara kesihatan serta merangsang badan untuk menghasilkan sel-sel darah baru, lalu mengekalkan kecergasan badan dan menjadikan penderma darah lebih produktif,” kata Maizura.