- Iklan -
Berita

Nadma sedia bantu kawasan terjejas kemarau

Tabung Bencana Nadma boleh digunakan untuk membeli peralatan-peralatan seperti “Portable Water Treatment Plant” yang boleh digunakan di kawasan-kawasan terjejas bekalan air akibat kemarau.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof. Gambar: Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof. Gambar: Bernama.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sedia membantu mana-mana kawasan yang terjejas dengan kemarau di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, Tabung Bencana Nadma boleh digunakan untuk membeli peralatan-peralatan seperti “Portable Water Treatment Plant” (PWTP) yang boleh digunakan di kawasan-kawasan terjejas bekalan air akibat kemarau.

“PWTP berkenaan boleh menghasilkan sehingga 120,000 liter air sehari, yang boleh membantu lebih kurang 8,000 mangsa di kawasan terjejas.

“Selain itu, kita juga mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), untuk membuat kajian mengenai cuaca pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Pelancaran Pak Wan Prihatin Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia di Dataran Peladang di Alor Gajah, hari ini.

Selasa lepas, kerajaan negeri Melaka menerima lima unit PWTP bernilai RM2.25 juta daripada Nadma, sebagai persediaan menghadapi kemarau yang sering berlaku ketika Monsun Barat Daya yang terjadi antara Mac hingga Jun setiap tahun.

Dalam pada itu Redzuan yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik Covid-19, nyata menarik minat ahli Parlimen pembangkang untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan persekutuan.

“Walaupun mereka tak bersama kita, tapi menyatakan sokongan kepada kita. Ini satu perubahan yang sihat untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh perdana menteri, terus melaksanakan tanggungjawab kita kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar, mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai naib presiden dan ahli PKR dan telah membuat keputusan untuk menjadi ahli Parlimen bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin.