Wednesday, August 4, 2021

LFL bimbang peraturan baru berita palsu darurat wujudkan ‘suasana takut’

Kumpulan hak asasi itu berkata peraturan sedia ada mencukupi dan mendesak peraturan tersebut ditarik balik.

Other News

Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty (LFL) melahirkan kebimbangan berhubung ordinan darurat baru yang membenarkan denda maksimum hingga RM100,000 bagi mereka yang didapati menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 dan darurat, dengan menyifatkan bahawa ia boleh disalah guna pihak berkuasa dan turut mencetuskan “suasana ketakutan”.

Dalam sebuah kenyataan, koordinator LFL Zaid Malek berkata bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No 2) 2021 “sepenuhnya mengabaikan hak peribadi” dengan membenarkan polis atau pegawai diberi kuasa menjalankan penggeledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi permintaan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

“Tidak boleh dibayangkan bagaimana peruntukan ini boleh disalahgunakan oleh pihak berkuasa dengan mudah. Ini akan mewujudkan suasana ketakutan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Zaid turut menyatakan kerisauan berhubung teks ordinan yang tidak menjelaskan istilah “proklamasi darurat”.

Beliau berkata ketidakjelasan seperti itu mungkin akan menyebabkan pelaksanaan perintah darurat menjadi tidak konsisten dan memungkinkan penyalahgunaannya di tangan pihak berkuasa atau “pihak lain yang mahu salah guna peraturan itu”.

Peraturan ordinan darurat terbaru itu diwartakan semalam, ia memperuntukkan denda maksimum sehingga RM100,000, hukuman penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi mereka yang disabitkan menyiar atau menyebarkan berita palsu mengenai Covid-19 atau pengisytiharan darurat.

Menurut warta itu, “berita tidak benar” adalah termasuk apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan Covid-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Polis atau pegawai juga diberi kuasa menjalankan penggeledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

Zaid berkata ini bukan kali pertama percubaan dibuat untuk menggubal undang-undang anti berita palsu di negara ini.

Beliau berkata bahawa ordinan itu juga cuba untuk mengabaikan proses sewajarnya dengan membenarkan penyimpangan terhadap peruntukan Akta Keterangan 1950.

“Melihat denda yang tinggi dan hukuman penjara itu, selain pembuktian tidak dibenarkan jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip perbicaraan yang adil dan tidak berat sebelah dan boleh menyebabkan hukuman yang tidak adil.”

Zaid turut mendesak kerajaan untuk menarik semula peraturan tersebut, dengan menyifatkan darurat ketika ini “bukan izin untuk sewenang-wenangnya membuat undang-undang”.

“Mereka (kerajaan) sentiasa terikat dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan dan secara khusus harus meneliti Artikel 150 (2B) yang membataskan penetapan apa-apa peraturan dan hanya boleh dilakukan jika wujud keadaan penting yang memerlukan peraturan segera dibuat.

“Dengan undang-undang yang sedia ada seperti Kanun Keseksaan, Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia serta undang-undang lain yang sudah cukup menyatakan ucapan yang menyinggung perasaan sebagai satu jenayah, tidak ada alasan logik atau sah untuk membuat peraturan ini,” jelasnya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles