- Iklan -
Berita

Kerjasama PH-Umno di Perak adalah ‘game changer’, kata suara dalam ‘audio Zahid’

Bahagian kedua rakaman audio itu tersebar selepas beberapa pimpinan pembangkang menggesa PH mempertimbangkan kerjasama dengan Umno.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Suara mirip Ahmad Zahid Hamidi itu dipercayai sedang memberi taklimat tentang langkah kerjasama Umno-PH. Gambar: Bernama
Suara mirip Ahmad Zahid Hamidi itu dipercayai sedang memberi taklimat tentang langkah kerjasama Umno-PH. Gambar: Bernama

Bahagian kedua rakaman audio dengan suara mirip Presiden Umno Ahmad Zahid tersebar sehari selepas klip audio pertama yang dipercayai rakaman taklimat supaya Umno berganding bahu bersama Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya akan datang.

Dalam audio terbaru yang tersebar hari ini, rakaman audio mirip suara Zahid sedang merujuk undi keyakinan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak akhir tahun lalu sehingga mengakibatkan menteri besarnya ketika itu, Ahmad Faizal Azumu dijatuhkan dari jawatan itu dengan gabungan undi Adun Umno dan PH

“Biar Perak memulakan ‘game changer’, satu perubahan besar, biar Perak lakukan ‘new political order’, inilah way forward untuk politik negara,” kata suara mirip Zahid itu dalam rakaman tersebut.

Klip kedua itu tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp, ia dipercayai sambungan daripada klip pertama yang muncul semalam.

Ia juga tersebar ketika banyak seruan daripada beberapa pemimpin PH untuk membentuk pakatan bersama Umno selepas parti itu memutuskan kerjasama dengan Bersatu pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

MalaysiaNow difahamkan daripada beberapa sumber dalaman Umno bahawa rakaman-rakaman tersebut adalah perbincangan semasa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Janda Baik, Pahang bulan lalu.

Walaupun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan ketika ini, seorang pembantu Zahid tidak menafikan keaslian klip audio yang tersebar semalam.

Pada 4 Disember lalu, Faizal hilang undi percaya yang diusulkan Umno selepas ketegangan di antara Umno dan bersatu. Usul tersebut mendapat sokongan daripada Adun PH, sementara PAS dan Bersatu tidak menyokong undi tersebut.

Susulan itu, Adun Umno Saarani Mohamad yang menggantikan Faizal sebagai menteri besar baru mengumumkan peruntukan sama rata kepada semua Adun. Ia dilihat sebagai tanda penghargaan di atas sokongan PH.

Dalam klip audio terbaru itu juga, lelaki dalam rakaman tersebut turut mendakwa telah menasihatkan Saarani untuk mengadakan persetujuan ‘confidence and supply’ supaya Adun PH tidak menolak belanjawan negeri.

“Tujuannya apa? Tujuannya untuk memperlihatkan bahawa kita (Umno dan PH) lebih baik dari yang dulu,” kata suara dalam rakaman itu lagi.

Satu sumber turut memberitahu MalaysiaNow bahawa beberapa pemimpin Umno yang menentang Zahid adalah mereka yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman penuh itu secara bertahap.

Di tahap pertama, suara yang sama mencadangkan Umno tidak perlu risau bekerjasama dengan DAP.

Rakaman itu berkata DAP telah menjamin patuh peruntukan Perlembagaan mengenai hak keistimewaan orang Melayu, dasar yang menjarakkan Umno dan DAP sejak beberapa dekad lalu.

“Saya bagitahu Nga Kor Ming, empat perkata dalam Perlembagaan mesti you ikut. Satu, agama Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Dia buat kenyataan media,” kata suara itu merujuk pertemuannya dengan Naib Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.