- Iklan -
Berita

3,510 tentera di Sarawak terima dos pertama vaksin

7,020 dos vaksin fasa pertama telah diterima bagi memenuhi keperluan dua dos dengan keutamaan diberikan kepada pegawai yang menjalankan tugasan kritikal.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Barisan hadapan negara di kawasan-kawasan sempadan menjadi penerima awal vaksin. Gambar: Bernama
Barisan hadapan negara di kawasan-kawasan sempadan menjadi penerima awal vaksin. Gambar: Bernama

Sejumlah 3,510 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysi (TUDM) di Sarawak menerima dos pertama vaksin Covid-19 hari ini.

Program Imunisasi Covid-19 yang dianjurkan oleh Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia bertempat di Dewan Bukavu, Kem Penrissen itu dimulakan dengan Panglima 1 Divisyen Dzulkafli Mustaffa menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNtech, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Dzulkafli berkata sebanyak 7,020 dos vaksin fasa pertama telah diterima bagi memenuhi keperluan dos pertama dan kedua dengan keutamaan diberikan kepada pegawai dan anggota yang menjalankan tugasan kesihatan, berada di zon merah, bertugas di kawasan operasi di sempadan Malaysia-Indonesia serta yang berada di markas.

“Program ini juga diadakan serentak di Sibu, Bintulu dan Miri dan kesemua vaksin telah dihantar tadi ke tiga-tiga lokasi terbabit menggunakan pesawat TUDM CN235 dari Pangkalan Udara Kuching,” katanya pada sidang media di sini.

Program itu merupakan usaha Markas Pemerintahan Medan Timur TDM untuk menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bertujuan membentuk imuniti kelompok dalam kalangan komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.