- Iklan -
Berita

Tiada bukti 27 cek bernilai RM26.05 juta adalah sumbangan dalam kes Zahid

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa tiada dokumen yang membuktikan 27 cek berjumlah RM26.05 juta yang diterima Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan kepada yayasan itu.

Pegawai penyiasat Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Amirudin Nordin, 38, berkata hasil siasatannya tidak menemukan sebarang dokumen sokongan atau surat yang menyatakan cek atas nama Lewis & Co itu adalah suatu sumbangan.

Saksi pendakwaan ke-96 itu berkata cek-cek yang dikaitkan dengan sumbangan itu adalah 13 cek MYEG Sdn Bhd (RM7.8 juta), 10 cek Chia Bee Enterprise Sdn Bhd (RM10 juta), dua cek Sarana Kencana Sdn Bhd (RM6 juta), satu cek Mubarak Hussain Akhtar Hussain (RM2 juta) dan satu cek Jogabonito Jewellery & Diamonds (RM250,000).

“Persamaannya kesemua cek-cek tersebut ialah dibayar kepada Lewis & Co,” katanya ketika menjawab soalan tambahan semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong pada perbicaraan hari ke-50 kes bekas timbalan perdana menteri yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Semasa pemeriksaan semula oleh Harris Ong, mengapa saksi itu tidak bersetuju dengan cadangan pembelaan bahawa wang itu adalah ‘sumbangan’, Mohd Amirudin berkata sumbangan boleh disalurkan terus kepada Yayasan Akalbudi dan tidak perlu melalui Lewis & Co.

Disoal Harris Ong mengenai cadangan pembelaan bahawa siasatan bagi kes pengubahan wang haram itu dilakukan dalam waktu yang singkat, saksi itu berkata ia tidak menjejaskan siasatan dan siasatannya juga lengkap.

Mengenai Yayasan Al Bukhary, Mohd Amirudin berkata yayasan itu pernah memberi sumbangan RM5 juta kepada Yayasan Akalbudi dalam bentuk cek dan tiada bukti menunjukkan sumbangan tersebut diberikan dalam bentuk wang tunai.

Sebelum ini, pengurup wang, Omar Ali Abdullah yang merupakan saksi pendakwaan ke-81 dalam keterangannya berkata beliau ada menerima sumbangan berbentuk wang tunai daripada Yayasan Al Bukhary.

Selain itu, Mohd Amirudin berkata pelantikan Lewis & Co sebagai pemegang amanah kepada Yayasan Akalbudi dibuat melalui mulut (lisan), bukan secara surat lantikan.

Sementara itu, pegawai penyiasat SPRM Mohamad Khairi Ibrahim, 29, memberitahu mahkamah bahawa beliau ada merakam percakapan bekas Setiausaha Yayasan Akalbudi Idris Kechek berhubung siasatan ke atas yayasan itu.

Mohamad Khairi berkata beliau merakam percakapan Idris sebanyak dua kali pada 8 Jun 2018 dan 18 Julai 2018 di Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Saya merujuk kepada penyataan dalam pemeriksaan atas nama Idris Kechek muka surat lapan hingga 24 dan mengesahkan bahawa ini adalah rakaman percakapan yang saya rakam,” kata saksi pendakwaan ke-97 itu ketika membacakan penyataan saksinya.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt kemudian memberitahu mahkamah bahawa Idris telah meninggal dunia pada 2018.

Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.