Tuesday, April 20, 2021

Saksi SPRM dedah Zahid minta RM10 juta dari usahawan Singapura

RM10 juta dikatakan sebagai sumbangan usahawan itu kepada Yayasan Akalbudi milik Zahid.

Other News

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Ahmad Zahid Hamidi meminta sumbangan RM10 juta daripada seorang usahawan dari Singapura untuk Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri itu menerusi Tetuan Lewis & Co.

Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Christ Sheldon Anak Merun, 32, berkata semasa pertemuan antara Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain yang merupakan pengarah syarikat Chia Bee Enterprise Sdn Bhd dengan Ahmad Zahid pada majlis makan malam tahun 2015, tertuduh memberitahu bahawa sumbangan itu adalah untuk orang miskin dan individu yang memerlukan.

“Wong kenal Zahid pertama kali pada 2015 melalui majlis makan malam. Zahid memperkenalkan dirinya sebagai menteri dalam negeri dan Wong memperkenalkan dirinya sebagai usahawan dari Singapura yang terlibat dalam pelaburan saham, perniagaan kayu balak, pelaburan harta tanah, pakaian fesyen dan ejen penghantaran.

“Wong memberitahu, semasa majlis makan malam itu Zahid ada bertanya kepadanya untuk menderma… sebagai seorang dermawan, Wong bersetuju untuk menderma kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskan Ahmad Zahid.

“Pada penghujung majlis makan malam itu, Ahmad Zahid ada menyatakan jumlah (sumbangan) RM10 juta kepada Wong, dan dia (Wong) memberitahu untuk mempertimbangkannya kerana memerlukan masa untuk menyediakan jumlah itu,” katanya ketika membacakan kenyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.

Saksi pendakwaan ke-98 itu berkata demikian pada hari ke-51 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Seramai 98 saksi termasuk sembilan pengawai penyiasat SPRM telah memberi keterangan dan dijangka seorang lagi pengawai penyiasat akan dipanggil sebelum pihak pendakwaan menutup kes itu.

Semalam, Pegawai Penyiasat SPRM, Mohd Amirudin Nordin, 38, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya telah merakam percakapan Wong untuk menjalankan siasatan mengenai pemberian RM10 juta daripada Chia Bee itu kepada Yayasan Akalbudi menerusi Lewis & Co.

Mohd Amirudin yang merupakan saksi pendakwaan ke-96 berkata Wong tidak berjaya dikesan untuk dipanggil memberi keterangan di mahkamah dan hasil siasatan dengan Jabatan Imigresen mendapati dia berada di luar negara.

Menurut Mohd Amirudin, hasil siasatannya juga tidak menemui sebarang dokumen sokongan atau surat yang menyatakan 10 cek daripada Chia Bee berjumlah RM10 juta itu adalah suatu sumbangan.

Christ Sheldon yang merakam percakapan Wong di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, pada 22 Februari 2019 berkata lebih kurang awal 2016, Wong menerima panggilan daripada seseorang yang diarahkan oleh Zahid untuk bertanyakan mengenai wang RM10 juta selain menjelaskan kepada Wong tentang kerja amal yang dilakukan Yayasan Akalbudi.

“Wong percaya bahawa permintaan adalah betul kerana orang itu dapat menjelaskan berkenaan dengan perbualan di antaranya dengan Zahid semasa majlis makan malam pada 2015 dan menyuruhnya untuk membuat bayaran derma kepada firma guaman Tetuan Lewis & Co (pemegang amanah Yayasan Akalbudi),” katanya.

Katanya Wong memberi sumbangan melalui syarikatnya (Chia Bee) dengan alasan beliau berasa ia satu keistimewaan apabila timbalan perdana menteri meminta sumbangan amal untuk Yayasan Akalbudi.

“Sebagai pemilik Chia Bee, beliau mempunyai hak untuk menggunakan syarikat itu bagi membuat sumbangan. Wong menggunakan Chia Bee untuk membuat derma amal kerana ingin menaikkan profil syarikat itu di Malaysia,” katanya.

Christ Sheldon berkata Wong mengarahkan penandatangan cek yang layak untuk menyediakan 10 keping cek dengan jumlah RM1 juta bagi setiap cek seperti yang diminta oleh orang Ahmad Zahid dan dia tidak mengetahui mengapa cek-cek tersebut perlu dikeluarkan secara berasingan dan bukan menggunakan satu keping cek.

“Wong tidak ingat orang yang dia suruh untuk keluarkan cek itu kerana dia tidak berada di Malaysia pada ketika itu dan Wong tidak berhubung dengan Zahid sejak pertemuan pada 2015, tetapi pada 2016 dia sudah mengetahui bahawa Ahmad Zahid telah menjadi timbalan perdana menteri,” kata saksi itu yang telah berkhidmat dengan SPRM sejak 2014.

Mengenai pinjaman RM10 juta daripada Syarikat KTS Holdings Sdn Bhd, Christ Sheldon berkata Wong telah meminjam RM10 juta daripada KTS melalui seorang rakannya iaitu mendiang Ngu Ngiong Hieng yang telah meninggal dunia pada 2017.

“Wong mengatakan berdasarkan persahabatannya dengan Ngu, dia meminta bantuan kewangan RM10 juta (dengan Ngu) sebagai pinjaman sementara untuk membolehkan dia menunaikan janji kepada Zahid untuk didermakan kepada Yayasan Akalbudi.

“Mengenai pinjaman sementara yang dibuat dengan Ngu, tiada perjanjian atau dokumentasi kerana ia dilakukan berdasarkan persahabatan atau kepercayaan mereka,” katanya.

Menurutnya, Ahmad Zahid meminta orangnya untuk menghubungi Wong bagi mendapatkan sumbangan itu pada awal 2016 dan Wong kemudian mengatur agar sumbangan itu diserahkan melalui syarikatnya dan bayaran itu dibuat pada 21 April 2016.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles