- Iklan -
Berita

Rakyat Argentina berhimpun tuntut ‘keadilan’ untuk Maradona

Penunjuk perasaan melaungkan ungkapan 'Diego tidak mati, mereka membunuhnya.'

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan mengangkat gambar mendiang Diego Maradona di Buenos Aires. Gambar: AFP
Penunjuk perasaan mengangkat gambar mendiang Diego Maradona di Buenos Aires. Gambar: AFP

Rakyat Argentina berhimpun di jalan-jalan di Buenos Aires pada Rabu untuk menuntut keadilan terhadap kematian Diego Maradona di tengah tuduhan kecuaian perubatan, lapor Xinhua.

Beratus-ratus peminat bola sepak, kebanyakannya memakai baju kebangsaan Argentina, menyertai perhimpunan damai di pusat Buenos Aires, kata pihak berkuasa.

Penunjuk perasaan melaungkan ungkapan “Dia tidak mati, mereka membunuhnya,” dan, “Keadilan untuk Diego, tangkap dan hukum orang yang bersalah”.

November lalu, legenda bola sepak itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 60, hanya beberapa minggu selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di otak.

Penyiasat berkata pihaknya berusaha untuk menentukan sama ada terdapat kecuaian doktor dan petugas perubatan. Akhir bulan ini panel pakar perubatan dan forensik dijangka akan mengemukakan hasil siasatan.

Polis menyerbu kediaman dan tempat kerja doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque, dan psikiatri Agustina Cosachov beberapa hari setelah kematian pemenang Piala Dunia 1986 itu. Kedua-duanya menafikan melakukan kesalahan tersebut.

Media Argentina melaporkan seorang pakar psikologi, dua jururawat, dan dua penyelaras perubatan juga sedang disiasat.