- Iklan -
Berita

PAS, Umno bincang pastikan tidak bertembung dengan Bersatu dalam PRU15

PAS dan Umno akan mengadakan perbincangan susulan demi memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Umno dan PAS membincangkan pertembungan antara kedua-dua parti dalam mesyuarat malam tadi.
Umno dan PAS membincangkan pertembungan antara kedua-dua parti dalam mesyuarat malam tadi.

Mesyuarat Muafakat Nasional (MN) mengambil ketetapan untuk berusaha memastikan tidak berlaku pertmbungan tiga penjuru di antara Umno, PAS serta Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata perbincangan mesyuarat tersebut lebih fokus kepada agenda memperkukuhkan hubungan kedua-dua parti itu demi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Apa yang kita bincang tadi, kita sedang usahakan untuk tidak ada tiga penjuru. Mesyuarat tadi memang membincangkan untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional.

“Yang penting Muafakat Nasional, agendanya kita dapat teruskan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menambah mesyuarat tersebut turut membincangkan usaha memperkukuhkan MN seperti sebelum ini dan menafikan wujudnya ketegangan di antara dua parti.

“Itu adalah perkara sampingan, tetapi motif kita ia adalah untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional, semuanya berjalan dengan baik malah kita dah tetapkan jadual mesyuarat berikutnya.”

Mesyuarat Muafakat Nasional malam tadi dipengerusikan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ia diadakan selepas ketegangan yang wujud di antara dua parti Melayu tersebut susulan desakan pemimpin Umno yang mahu PAS keluar daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional.

Pemimpin Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak telah mendesak PAS untuk membatalkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di samping mengingatkan parti Islamis itu untuk tetap setia bersama Muafakat Nasional – sebuah permuafakatan politik yang menamatkan permusuhan politik antara Umno dan PAS.

Gesaan tersebut juga muncul susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menetapkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15.

PAS beberapa kali menyatakan komitmen untuk menyokong kerajaan yang ditadbir Muhyiddin di samping turut mengalu-alukan Bersatu untuk menjadi anggota ketiga dalam Muafakat Nasional.

PAS turut dilihat bersedia menjadi ‘orang tengah’ menghubungkan Umno dan Bersatu.

Bagaimanapun, peranan yang cuba diambil PAS tersebut dikecam Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin adalah antara pemimpin Umno yang mendakwa Muhyiddin mengambil kesempatan daripada sokongan Umno dengan tidak memberikan jawatan penting kepada pemimpin parti itu.