Saturday, July 24, 2021

Pandangan Rais Yatim tentang Undi 18 tidak wakili kerajaan, kata Pemuda Bersatu

Armada sifatkan kenyataan Rais Yatim cipta sentimen buruk kepada kerajaan.

Other News

Sayap Pemuda Bersatu hari ini mengatakan pandangan Speaker Dewan Negara Rais Yatim berhubung pelaksanaan undi 18 tahun tidak mewakili kerajaan.

Ketua Penerangan Armada Mohd Ashraf Mustaqim berkata, pandangan Rais itu merupakan pandangan peribadi beliau.

“Armada yang sejak awal berpendirian menyokong pelaksanaan Undi 18 merasakan bahawa anak muda sememangnya perlu diberikan hak untuk memilih.

“Kenyataan Speaker Dewan Negara, Rais Yatim adalah merupakan pandangan peribadi beliau dan secara jelas ianya tidak mewakili kerajaan sepertimana tuduhan yang dibuat oleh beberapa entiti yang berniat jahat memburukkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ashraf berkata, pihaknya maklum terdapat kekhuatiran mengenai kesediaan negara dalam memberikan pendidikan politik kepada masyarakat utamanya anak muda mengenai demokrasi.

Justeru, katanya, Armada berharap segenap proses pelaksanaan had umur undi 18 tahun itu diteliti dengan baik untuk memastikannya berjalan dengan lancar.

“(Ia) sejajar dengan hasrat kelulusan di peringkat Parlimen yang prihatin untuk melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab atas hak dan pilihannya bukan dek kerana peranan ‘populist’ semata.

“Kerana itu tohmahan ke atas kerajaan mengenai pelaksanaan Undi 18 adalah merupakan suatu falasi untuk mencipta sentimen buruk kepada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa tarikh pelaksanaan pindaan itu dijangka selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Pelaksanaan had undi 18 tahun diusahakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019.

Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga, 10 hari selepas ia diluluskan di Dewan Rakyat.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dalam pilihan raya dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles