- Iklan -
Berita

Pakar ekonomi cadang kedai bebas cukai mulakan operasi dalam talian

Perniagaan bebas cukai perlu bersaing dalam perniagaan e-dagang bagi berdepan pandemik Covid-19.

Siva Selan
3 minit bacaan
Kongsi
Lapangan terbang antarabangsa jadi tempat perniagaan bebas cukai utama negara.
Lapangan terbang antarabangsa jadi tempat perniagaan bebas cukai utama negara.

Kedai-kedai bebas cukai yang menjadi tarikan destinasi percutian di seluruh negara biasanya bergantung dengan kedatangan pelancong untuk meraih pendapatan atau keuntungan.

Dari Langkawi, Kedah hingga Kompleks Berjaya Waterfront di Johor, pengunjung tempatan dan antarabangsa yang mengunjungi kedai-kedai bebas cukai memang menjadi kelompok sasaran bagi barang-barang mewah, wangian, kosmetik, alkohol dan rokok yang mereka tawarkan.

Namun dengan penutupan sempadan dan sekatan perjalanan antarabangsa dilaksanakan hampir di seluruh dunia, banyak perniagaan terpaksa membina platform dalam talian dan perniagaan bebas cukui turut melakukan perkara yang sama.

Pakar ekonomi yang dihubungi MalaysiaNow berkata kini tiba masanya perniagaan bebas cukai untuk turut serta dalam perniagaan e-dagang.

“Ada keperluan untuk mencipta konsep baru jual beli bebas cukai dengan mencari ruang bebas cukai dalam talian kerana masa depan ekonomi adalah dengan mempromosi perniagaan dalam talian,” kata Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak.

Dengan jualan yang menurun sehingga dua pertiga tahun lalu, keperluan ini menjadi semakin mendesak ketika pandemik masih berlarutan.

Namun perubahan kaedah jual beli terhadap kedai bebas cukai dalam talian bermakna ia memerlukan akses yang lebih universal.

“Jadi, apakah syarat-syarat baru untuk seseorang boleh menikmati barangan bebas cukai?” soal Barjoyai.

Untuk beberapa tahun sebelum ini, kedai bebas cukai menarik pelancong untuk menikmati harga murah kerana pengecualian cukai selain dapat membeli barangan yang sukar ditemui di negara asal mereka.

Namun ketika pandemik Covid-19 melanda, ia menyebabkan sektor perniagaan ini mempertimbangkan untuk mengubah perniagaan dengan beradaptasi dengan digitalisasi dan platform perniagaan dalam talian – mereka terpaksa mula berniaga secara “online” atau terus menyaksikan perniagaan merudum akibat pandemik.

Menurut firma perunding Sweden, Generation Research, jualan bebas cukai mengaut jualan sebanyak RM353 bilion pada 2019.

Pada 2020, jumlah itu menurun lebih daripada separuh, dengan mencatat jualan sebanyak RM118 juta.

Namun untuk meneruskan perniagaan dengan berniaga secara dalam talian, langkah itu turut menghadapi cabarannya yang tersendiri.

Sebagai contoh, jual beli bebas cukai dalam talian ketika duti import direndahkan menjadikan produk semakin banyak dipasarkan secara e-dagang.

Hal ini menjadikan perniagaan bebas cukai sukar bersaing dengan platform e-dagang yang lain.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng bagaimanapun berkata mereka tiada pilihan kerana mereka tidak lagi boleh mengekalkan perniagaan secara fizikal.

Nasihat beliau kepada pemilik dan operator ialah supaya mereka mula melabur dalam pemasaran dalam talian supaya tanggungan perniagaan menjadi rendah bagi mengimbangi tahap rendah jual beli bebas cukai kerana pelancongan antarabangsa sudah tidak boleh dilakukan.

“Mereka boleh gunakan data pelanggan dengan menawarkan akses dalam talian dan produk khas,” katanya.

Yeah yang merupakan pensyarah di Sunway University Business School, berkata perniagaan bebas cukai mungkin akan mendapat jalan keluar selepas Malaysia membuka semula sempadan.

Selain itu, katanya, program vaksinasi kebangsaan yang sedang dijalankan di seluruh negara akan menyaksikan negara mencapai imuniti kelompok pada 2021.

Hal ini bermakna, perjalanan antarabangsa akan dibenarkan semula pada tahun depan.

“Pemilik perniagaan bebas cukai perlu terus kukuh untuk dua hingga tiga tahun lagi jika mereka bergantung sepenuhnya dengan trafik lapangan terbang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Barjoyai bagaimanapun mempersoalkan sama ada perjalanan perniagaan akan terus kekal menjadi gaya hidup selepas pandemik, kerana mesyuarat dan transaksi perniagaan sudah boleh dijalankan secara dalam talian.

Jika pelancongan menjadi bentuk utama perjalanan selepas ini, katanya, ia akan memberi kesan kepada jualan barangan di kedai-kedai bebas cukai yang fizikal.

Namun beliau dan Yeah bersetuju lapangan terbang akan terus menjadi destinasi popular untuk jual beli bebas cukai.

“Pelancong antarabangsa dan peniaga yang berada dalam kategori yang berpendapatan tinggi memiliki daya beli yang tinggi. Jadi, lapangan terbang akan terus menjadi tempat untuk perniagaan menyasarkan pembeli dan konsumer yang mampu,” kata Yeah.

Barjoyai turut menambah lapangan terbang mungkin boleh mengekalkan perniagaan bebas cukai jika mereka menyediakan tarikan-tarikan baru untuk menarik minat pelancong ketika larangan perjalanan masih dilaksanakan.

Beliau berkata kompleks hotel juga boleh digunakan sebagai pusat penghantaran bagi jual beli bebas cukai secara dalam talian ketika hotel tidak didiami ketika ini.