Monday, August 2, 2021

Orang Asli masih ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin Covid-19

Jakoa akan memperkenalkan kaedah yang lebih praktikal bagi membantu orang asli di kawasan pedalaman menerima vaksinasi.

Other News

Komuniti Orang Asli masih lagi ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin bagi mencegah jangkitan Covid-19 kata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ketika langkah dipertingkatkan bagi membangkitkan kesedaran.

Pengarah Jakoa Juli Edo berkata berkata, mereka menjalinkan kerjasama dengan kementerian kesihatan (KKM) dalam mewujudkan kesedaran terhadap vaksin kepada komuniti Orang Asli.

“Saya menggalakkan mereka agar jangan takut dan percaya akan usaha kerajaan yang ingin menyelamatkan dan bukannya membunuh,” kata Juli kepada MalaysiaNow.

“Biarpun ada kes positif dalam kalangan Orang Asli tetapi ia merupakan kes terpencil dalam komuniti ini.”

Sebelum ini dilaporkan pasangan Orang Asli kaum Temiar menghilangkan diri ketika ujian saringan Covid-19 dilakukan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan selepas meninggalkan anak mereka berusia 25 hari yang disahkan positif Covid-19.

Pasangan itu kemudian ditahan oleh pihak polis ketika kedua-duanya didapati berada di sekitar sebuah pondok berhampiran Kampung Sungai Sam di Kuala Krai.

Juli berkata Jakoa akan memperkenalkan kaedah yang lebih praktikal bagi membantu Orang Asli di kawasan pedalaman menerima vaksinasi selain menarik minat golongan itu untuk melakukan pendaftaran.

Beliau berkata, mereka akan mengenalpasti identiti Orang Asli bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan KKM.

“Fokus sekarang adalah untuk memberi kesedaran dan menggalakkan mereka mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera,” katanya.

“Bagi yang tiada kemudahan seperti telefon pintar atau jaringan internet kerana tinggal di kawasan pedalaman, kami akan cuba membantu dengan membangunkan kaedah lain bagi memastikan mereka ini mendaftar”.

Juli berkata, walaupun jadual vaksinasi Orang Asli masih lambat lagi untuk diadakan, Jakoa sudah membuat perangkaan awal sebagai usaha memastikan tidak akan ada yang tertinggal daripada menerima vaksin.

Klinik bergerak

Dalam pada itu, Juli menerima baik usaha KKM yang akan memperkenalkan klinik bergerak sebagai usaha mendekati komuniti Orang Asli.

Katanya, usaha ini bukan sahaja dapat menyempurnakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bahkan turut mengekang penularan virus berkenaan.

“Seperti diperkatakan kami optimis memastikan tahap kesihatan orang asli terjamin dan terpelihara dengan menjalinkan usahasama dengan badan-badan berkaitan.”

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan memberi fokus kepada Orang Asli agar tidak terpinggir menerusi jalinan kerjasama dengan ketua kampung dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Perkara pertama adalah mereka berdaftar dengan KKM sebelum unit pejabat kesihatan daerah (PKD) hadir untuk melakukan vaksinasi kepada mereka,” katanya.

Dijadualkan hanya 600 buah klinik bergerak dijangkakan terlibat bagi merealisasikan usaha terbabit di seluruh Malaysia.

Program vaksinasi yang bermula pada yang bermula penghujung Februari lalu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama menerima vaksin, Pfizer-BioNTech di Malaysia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles