- Iklan -
Berita

Guan Eng disiasat polis berhubung kenyataan persoal darurat

Selain Lim, kenyataan itu turut dikeluarkan oleh Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Lim Guang Eng dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain disiasat mengenai kenyataan mempersoalkan tindakan Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat. Gambar: Bernama
Lim Guang Eng dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain disiasat mengenai kenyataan mempersoalkan tindakan Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini hadir memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengenai pelaksanaan darurat yang dibuat pada 12 Jan lepas.

Lim yang ditemani peguamnya R.S.N Rayer tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di George Town pada pukul 11.25 pagi dan selesai memberi keterangan kira-kira sejam kemudian.

Rayer berkata Lim yang juga ahli Parlimen Bagan telah memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan dan keterangan diambil oleh pegawai polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kami memberikan kerjasama penuh kepada pegawai polis dan beliau (pegawai polis) juga memaklumkan telah selesai mengambil keterangan saudara Lim Guan Eng hari ini.

“Keterangan diambil bagi membantu siasatan kes itu dibuat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998, ” katanya kepada pemberita di perkarangan IPD selepas Lim memberi keterangan.

Polis sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung kenyataan bersama Majlis Presiden (PH) itu yang didakwa mempersoalkan keputusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mengusulkan pelaksanaan darurat di seluruh negara bagi menangani wabak Covid-19.

Selain Lim, kenyataan itu turut dikeluarkan dua lagi pemimpin pembangkang iaitu Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu.

Sebelum ini, polis turut mengambil keterangan Anwar bagi membantu siasatan kes sama di Ibu pejabat PKR di Kuala Lumpur pada 26 Feb lepas manakala Mohamad Sabu dijangka memberi keterangan esok.