- Iklan -
Berita

Syarikat gergasi hartanah Juwai IQI bakal buka ibu pejabat di KL

MDEC mengalu-alukan pengumuman syarikat tersebut dan menyifatkannya sejajar dengan inisiatif MyDigital.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Juwai IQI adalah sebuah syarikat gergasi selepas dua syarikat Juwai (Hong Kong) dan IQI (UAE) bergabung dengan memiliki sekitar enam juta senarai hartanah setiap tahun dari 91 negara.
Juwai IQI adalah sebuah syarikat gergasi selepas dua syarikat Juwai (Hong Kong) dan IQI (UAE) bergabung dengan memiliki sekitar enam juta senarai hartanah setiap tahun dari 91 negara.

Syarikat hartanah antarabangsa berpangkalan di China, Juwai IQI akan membuka ibu pejabat yang akan menumpukan kajian dan pembangunan di Kuala Lumpur.

Langkah terbaru syarikat itu adalah bagi menyambut pengumuman kerajaan yang baru-baru ini melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Di dalam sebuah kenyataan, syarikat itu berkata pejabatnya yang terletak di Kuala Lumpur akan dianggotai sekurang-kurangnya 1,000 kakitangan warga Malaysia yang memiliki kemahiran dalam memajukan platform digital.

“Kami teruja untuk memainkan peranan kecil dalam memajukan Malaysia sebagai hab digital di rantau Asean,” kata CEO Juwai IQI Kashif Ansari.

Sementara itu, Pengerusi Juwai IQI Georg Chmiel berkata pihaknya merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai tapak pelancaran sebelum meluaskan pengaruhnya di rantau Asean.

“Asia sedang menerajui dunia dari sudut penggunaan gajet mudah alih, penekanan digital, dan pengguna internet dengan penggunaan aplikasi seperti WeChat, Gojek dan Grab. Kedudukan Malaysia yang terletak di tengah-tengah rantau Asean, memberi kelebihan kepadanya untuk menjadi pusat digital Asia,” kata Chmiel.

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) juga turut mengalu-alukan pengumuman syarikat tersebut dan menyifatkannya sejajar dengan inisiatif MyDigital.

“Agensi kami menekankan inisitif-inisiatif yang berpusatkan manusia dan boleh memberi manfaat kepada ramai orang, bukan hanya segelintir. Ketika Juwai IQI mencipta peluang pekerjaan, ia akan membawa kita lebih cepat mencapai matlamat-matlamat inisiatif MyDigital,” kata Pengerusi MDEC Rais Hussin.

Juwai IQI adalah sebuah syarikat gergasi selepas dua syarikat Juwai (Hong Kong) dan IQI (UAE) bergabung dengan memiliki sekitar enam juta senarai hartanah setiap tahun dari 91 negara. Ia memberikan khidmat kepada 3.3 juta pengguna di Asia dan kini bernilai AS$4 trilion.

Tahun lalu, syarikat itu mengumumkan pembeliann Rina Group, sebuah agensi hartanah terbesar Malaysia.