- Iklan -
Berita

Muhyiddin tegas tidak campur urusan mahkamah walaupun berisiko hilang kuasa, kata pemikir

Tiada campur tangan melibatkan keputusan mahkamah biarpun berdepan dengan tekanan politik tidak termasuk memberikan sepenuh komitmen terhadap pelan anti rasuah.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Komitmen Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pegangannya sebagai anti rasuah terbukti apabila beliau mengekalkan pelan anti rasuah zaman PH. Gambar: Bernama
Komitmen Muhyiddin Yassin dalam menyuarakan pegangannya sebagai anti rasuah terbukti apabila beliau mengekalkan pelan anti rasuah zaman PH. Gambar: Bernama

Kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam mentadbir negara selepas menggalas jawatan berkenaan setahun lalu menjadikan beliau antara pemimpin yang “luar biasa” apatalah lagi dalam keadaan negara berdepan dengan penularan Covid-19, kata seorang pemikir.

Ahli akademik  Chandra Muzaffar berkata, apa yang berlaku hari ini, tidak pernah berlaku dalam kepimpinan Malaysia sebelum ini tetapi tidak menjejaskan prestasi Muhyiddin dalam mengepalai kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas pengunduran parti Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Muhyiddin bukan sahaja fokus dalam memastikan kesejahteraan rakyat berdepan dengan impak daripada Covid-19 dengan cara menyalurkan sumbangan kepada kumpulan sasar, perdana menteri juga tidak mencampuri urusan mahkamah melibatkan perbicaraan berprofil tinggi.

Chandra berkata, ini adalah antara sumbangan terbesar Muhyiddin dalam menguruskan negara meskipun tindakan ini menyebabkan kedudukannya sebagai perdana menteri terancam.

“Kebanyakan pemimpin yang terlibat dengan kes mahkamah merupakan komponen tersebesar dalam kerajaan dan Muhyiddin kuasanya bergantung kepada parti ini maknanya dia boleh dijatuhkan pada bila-bila masa sahaja.

“Bagaimanapun Muhyiddin berpegang kepada prinsip bahawa beliau tidak campur tangan dalam urusan mahkamah dan sekiranya dibandingkan dengan pemimpin yang lain secara retorik mereka menyatakan sentimen ini tetapi dari segi praktik mereka gagal,” kata Chandra dalam satu program bual bicara bersama stesen televisyen RTM malam tadi.

Katanya, tindakan Muhyiddin membiarkan mahkamah bebas membuat keputusan dan penghakiman tanpa tekanan politik jauh berbeza dengan pemimpin sebelum ini.

Katanya, komitmen Muhyiddin dalam menyuarakan pegangannya sebagai anti rasuah terbukti apabila beliau mengekalkan pelan anti rasuah zaman PH.

“Cara dia mengekalkan sesuatu yang baik dan pelan anti rasuah dikekalkan dan disuarakan komitmennya secara terbuka, ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang sanggup menerima kebaikan daripada pemimpin-pemimpin sebelumnya.”

Chandra turut memberikan pandangannya terhadap usaha yang perlu dilakukan negara sebagai langkah agresif membanteras aktiviti jenayah rasuah.

“Saya menganggap usaha untuk membanteras rasuah amat penting sekali, ia penting sekali dan yang kita perlukan tiga-tiga unsur dalam menentang rasuah.

“Undang-undang yang tegas dan pelaksanaan, kita perlukan juga pendidikan masyarakat kerana soal rasuah ini juga tidak boleh kita pisahkan dengan pendidikan,” katanya.

Bagi Chandra, tindakan tegas terhadap pelaku dapat mewujudkan kesedaran sekali gus mendidik individu lain agar tidak terlibat dengan rasuah.

Katanya, perkara paling utama yang diberikan tekanan ialah kesedaran rakyat agar tidak terjebak dengan rasuah.

“Sebahagian besar rakyat kita walaupun mereka mengecam rasuah tetapi mereka sanggup mengamalkannya dan itu yang menjadi masalah.

“Usaha ketiga ialah tauladan yang melibatkan kepimpinan negara serta golongan berpengaruh dalam masyarakat agar dapat menjadi contoh kepada rakyat,” katanya.