- Iklan -
Berita

Malaysia terima tambahan 10,000 kuota haji dari Arab Saudi

Malaysia dan Arab Saudi turut memeterai persefahaman (MOU) inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah bagi memudahkan proses haji dan umrah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Malaysia ketika ini memiliki 31,600 kuota rasmi haji dari Arab Saudi. Gambar: AFP
Malaysia ketika ini memiliki 31,600 kuota rasmi haji dari Arab Saudi. Gambar: AFP

Kerajaan Arab Saudi bersetuju menambah 10,000 lagi kuota rasmi haji untuk jemaah Malaysia, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Persetujuan Arab Saudi itu disampaikan Muhyiddin selepas pertemuan beliau bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.

“Kita sudah dapat keputusan baik persetujuan.

“Apabila keadaan (Covid-19) pulih sepenuhnya, kuota haji ditambah 10,000 daripada jumlah sedia ada,” kata perdana menteri pada sidang media selepas menghadap Putera Mahkota seperti dipetik dilaporkan Astro Awani.

Malaysia ketika ini memiliki sebanyak 31,600 kuota rasmi dari Arab Saudi berpandukan ketetapan sebanyak 0.01% daripada jumlah penduduk sesebuah negara oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Lawatan Muhyiddin ke negara Saudi atas jemputan Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud.

Beliau menunaikan umrah dan ziarah di Mekah dan Madinah terlebih dahulu, sebelum memulakan program rasmi sempena lawatan beberapa negara teluk.

Pada pertemuan itu, sebuah perjanjian persefahaman (MOU) inisiatif Perkhidmatan Jalan Mekah turut ditandatangani di antara kedua-dua negara Malaysia dan Arab Saudi.
Persefahaman itu adalah bagi memudahkan proses prapelepasan jemaah, seperti urusan penerbangan, semakan visa dan pasport, prosedur kastam dan urusan logistik lain.

Jadual beliau seterusnya akan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.