- Iklan -
Berita

Keluarga Dr M bimbang jika beliau jadi calon PRU lagi

Sebelum ini, Mahathir berkata beliau tidak akan mencalonkan diri dalam pilihan raya akan datang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir menjadi pemimpin yang sukar ditandingi dari sudut kepimpinan dan ketegasannya.
Dr Mahathir menjadi pemimpin yang sukar ditandingi dari sudut kepimpinan dan ketegasannya.

Anggota keluarga Dr Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangan sekiranya ahli politik berusia emas itu sekali lagi mencalonkan diri bertanding pilihan raya akan datang, lapor Nikkei Asia.

“Kita harus ingat bahawa beliau sekarang berusia 95 tahun, dan menginjak usia 96 tahun pada bulan Julai,” kata anak kepada bekas perdana menteri itu, Mukhriz Mahathir yang juga merupakan ahli Parlimen parti Pejuang yang dibentuk oleh Mahathir selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan tahun lalu.

Sebelum ini, Mahathir berkata beliau tidak akan mencalonkan diri dalam pilihan raya akan datang, namun beliau turut memberi isyarat untuk terus berpolitik.

Pada 2018, beliau bertanding di Langkawi, 15 tahun selepas tidak aktif dalam dunia politik. Pada usia 92 tahun, beliau menjadi perdana menteri tertua di dunia, kembali memegang jawatan nombor satu negara buat kali kedua.

Mukhriz berkata keluarganya akan tetap menyokong keputusan Mahathir, walaupun sebelum ini bimbang mengenai kesihatannya sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kami ada kebimbangan sendiri tetapi kemudian terbukti bahawa pilihannya untuk memimpin pembangkang adalah tepat,” kata Mukhriz di samping turut berkata bapanya itu berupaya untuk menarik undi ramai di setiap kawasan Parlimen.

Bagaimanapun, Mukhriz berpendapat bahawa sudah sampai waktunya untuk membiarkan pemimpin muda mengambil alih kepimpinan negara kerana rakyat Malaysia telah melihat kepemimpinan yang terus “berulang di sekitar nama yang sama sejak 30 tahun lalu”.