- Iklan -
Berita

Bekas ahli Parlimen Batu Berendam didakwa hina kerabat Johor

Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Hakim membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan semula pengurusan kes. Gambar: Bernama
Hakim membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan semula pengurusan kes. Gambar: Bernama

Bekas ahli Parlimen Batu Berendam Mohd Tamrin Abdul Ghafar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap kerabat diraja Johor menerusi catatan di blog, tahun lepas.

Mohd Tamrin, 71, yang juga anak bekas timbalan perdana menteri Abdul Ghafar Baba membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, Tamrin dengan menggunakan blog “tamrintunghafar” di pautan https:/tamrintunghafar.blogspot.com didakwa secara sedar membuat komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang dibaca di laman ‘Page Facebook Dato Tamrin Tun Abdul Ghafar’.

Catatan itu membabitkan artikel mengaitkan Tunku Mahkota Johor Ismail Ibrahim dan Sultan Johor Ibrahim Iskandar.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Media RPO Services, Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey di Johor Bharu, kira-kira 7 malam, 2 Februari 2020.

Tamrin didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Unit, Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam Yusaini Amer Abdul Karim dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jaminan tidak lebih RM5,000 dengan alasan Mohd Tamrin kini seorang penganggur dan mempunyai masalah jantung yang memerlukan rawatan bulanan di Institut Jantung Negara (IJN).

Wan Mohd Norisham membenarkan Mohd Tamrin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Mei untuk sebutan semula bagi pengurusan