- Iklan -
Berita

PAS parti kecil, tak perlu campur urusan Umno, kata Tajuddin

Umno menolak usaha PAS untuk menjadi pendamai di antara parti itu dan Bersatu.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menurut Tajuddin Abdul Rahman wujud pihak yang hendak ganggu dan gugat dan memperkecilkan Umno.
Menurut Tajuddin Abdul Rahman wujud pihak yang hendak ganggu dan gugat dan memperkecilkan Umno.

PAS sebuah parti kecil yang tidak seharusnya masuk campur dalam hubungan antara Umno dan Bersatu, kata Pengarah Pilihan Raya Tajuddin Abdul Rahman.

Tajuddin menegaskan, Umno sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Bersatu walau apa yang berlaku dan menolak usaha PAS untuk menjadi pendamai.

“Dia (PAS) tak tau. Dia sedaplah parti dia PAS, kita (Umno) ni macam mana. Mereka hendak ganggu dan gugat dan memperkecilkan Umno ni,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“PAS dah memang parti kecil tapi Umno adalah parti yang besar takkan kita nak jadi parti yang kerdil. Kita merasakan sekarang ini kita dibuat begitu rupa hendak menjadikan Umno ini sebuah parti kecil.”

Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menasihati pemimpin ketiga-tiga parti itu untuk terus mendukung kerajaan sedia ada sekali gus memberi fokus kepada isu rakyat yang menanggung beban berikutan pandemik Covid-19 dan kurangkan politik dalaman yang mengganggu tumpuan.

Katanya, PAS mahu melihat “muafakat politik” yang termeterai di bawah Perikatan Nasional (PN), antara Bersatu, PAS dan Umno diteruskan sehingga selepas PRU15 demi masa depan negara.

“Saya yakin muafakat politik ini bukan sahaja untuk parti tetapi untuk masa depan negara dan seluruhnya. Sebarang keputusan politik membabitkan masa depan negara, jadi bagi PAS, kita lihat ketiga-tiga parti perlu teruskan muafakat bukan sahaja sampai Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi sampai selepas PRU nanti,” kata Tuan Ibrahim.

Tajuddin berkata, Bersatu sepatutnya berterima kasih dengan Umno kerana menyerahkan kedudukan tertinggi dalam kerajaan meskipun mempunyai bilangan kerusi Parlimen yang sedikit.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, Umno sudah melakukan persediaan rapi jika bakal berdepan secara solo atau bersama dengan PAS dalam PRU15.

“Umno akan bangkit semula selepas PRU15. Jika bertanding secara solo Umno akan bertanding 120 kerusi tetapi jika bersama dengan PAS, Umno akan bertanding 96 kerusi.”

Katanya, sebelum Umno membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu, perkara ini sudah dibincangkan secara mendalam.

“Umno takkan buat keputusan dengan sembrono tolak kerjasama dengan Bersatu,” katanya.

“Sebelum dia hendak berikan saranan itu dan ini dia kena faham apa masalahnya. Kalau dia tak tau apa masalahnya apa pun dia cakap tidak akan membawa apa-apa kejayaan.”