Thursday, April 22, 2021

KKMM cadang tubuh yayasan bantu petugas media hilang kerja

Cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan bersama persatuan-persatuan melibatkan media.

Other News

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bercadang untuk menubuhkan yayasan khas bagi membantu petugas dalam industri media yang kehilangan pekerjaan, kata Timbalan Menterinya Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan bersama persatuan-persatuan melibatkan media, namun beliau menjangkakan yayasan tersebut dapat ditubuhkan dalam tempoh terdekat.

Jelasnya, yayasan itu bukan sahaja berfungsi untuk membantu bekas petugas media yang kehilangan pekerjaan berikutan impak perubahan industri dan kesan penularan Covid-19, malah bagi kegunaan bantuan kebajikan petugas industri terbabit.

“Yayasan ini akan diuruskan oleh persatuan media dengan dibantu oleh kerajaan. Kalau boleh, perlu ada campur tangan kerajaan kerana tanpa campur tangan kerajaan, kejayaan (yayasan) sukar untuk dicapai.

“Kita (KKMM) juga berhasrat kalau boleh diberikan pengecualian cukai kepada mana-mana syarikat yang membantu yayasan ini,” katanya pada sidang media di Wisma TV Angkasapuri hari ini.

Terdahulu, Zahidi mempengerusikan mesyuarat hampir dua jam bersama wakil daripada enam persatuan pengamal media tempatan termasuk persatuan bekas wartawan dan jurugambar.

Mengenai mesyuarat itu, Zahidi berkata persatuan-persatuan terbabit turut merayu agar kerajaan mempertimbang mewujudkan peruntukan atau dana khas, untuk membantu petugas industri itu yang terjejas akibat Covid-19.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles