- Iklan -
Berita

Khairy dapat sokongan gantikan Ku Nan di Putrajaya

Timbalan Ketua Umno Putrajaya mengalu-alukan Khairy Jamaluddin untuk bertanding di sana.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Khairy Jamaluddin antara pemimpin Umno yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional. Gambar: Bernama
Khairy Jamaluddin antara pemimpin Umno yang menganggotai kerajaan Perikatan Nasional. Gambar: Bernama

Tindakan meletakkan seorang tokoh nasional sebagai calon Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan memberikan manfaat kepada penduduk Putrajaya, kata seorang pemimpin bahagian, mempertahankan cadangan itu.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz tidak menolak kemungkinan Khairy yang juga bekas ketua Pemuda parti Melayu itu bakal diletakkan sebagai calon PRU15.

“Saya mengalu-alukan pemimpin berjawatan menteri atau yang berpotensi menjadi menteri untuk bertanding di sini kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada warga Putrajaya,” katanya kepada MalaysiaNow.

MalaysiaNow sebelum ini melaporkan Khairy bakal bertanding di Putrajaya pada PRU15, pertama kali di luar Rembau, Negeri Sembilan yang dimenanginya sebanyak tiga kali.

Ini selepas Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mempersiapkan diri untuk menggantikan Khairy di Rembau pada PRU15.

Putrajaya yang mempunyai majoriti pengundi terdiri daripada penjawat awam, dan disebabkan itu menjadi kubu kuat Umno apabila memegang tampuk persekutuan, tidak pernah mempunyai ahli Parlimen lain selain Tengku Adnan Tengku Mansor.

Bagaimanapun, Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan mahu meletakkan anaknya sebagai pengganti di Putrajaya selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, Disember lalu atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan dan dijatuhkan hukuman 12 bulan penjara.

Kini beliau dalam proses rayuan dan perlu memberikan laluan kepada Faisal untuk memimpin Umno Bahagian Putrajaya tetapi tidak dilakukannya.

Dalam pada itu, Faisal mengesahkan pertemuan untuk mendapatkan sokongan daripada ketua cawanagn dan AJK bahagian untuk membuat aduan terhadap dirinya.

Katanya sebelum berhujah mempertahankan dirinya kepada tribunal yang dilantik Umno, beliau meminta untuk melihat surat aduan yang dibuat kepadanya bagi mengesahkan pertuduhan yang dikemukakan.

“Selepas dipertimbangkan barisan tribunal yang terdiri daripada tiga orang dan dua peguam saya diberi peluang untuk melihat,” katanya kepada MalaysiaNow.

“16 muka surat yang saya bacakan kepada barisan tribunal itu termasuk bukti yang saya perolehi daripada ahli lain serta mengambil kira situasi yang turut dilakukan pihak lain namun tiada tindakan diambil.”

MalaysiaNow cuba menghubungi Ku Nan untuk mendapatkan maklumbalas tetapi tidak berjaya.

Faisal yang juga setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, sehingga kini keputusan tribunal tersebut tidak diketahui bila akan diumumkan.

Dan ketika ditanya adakah terdapat usaha untuk menghasut dan “membeli” semua ketua cawangan dan ahli jawatankuasa supaya menandatangani surat aduan secara bersama, ini jawapan yang diberikan.

“Saya dimaklumkan oleh mereka yang hadir tentang ucapan Ku Nan, dan saya ada beri penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan mengenai saya dalam kumpulan WhatsApp ketua-ketua cawangan Putrajaya dan AJK Bahagian Putrajaya,” katanya.