Thursday, April 22, 2021

IBR beri impak besar pertingkat kesedaran tangani rasuah

IBR menjadi pembuka pintu kepada agensi untuk melaksanakan program susulan berkaitan antirasuah.

Other News

Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018, walaupun hanya secara luaran, namun kesannya amat mendalam bagi meningkatkan kesedaran membanteras rasuah dalam kalangan masyarakat dan organisasi.

Melalui IBR, ia jelas memperlihatkan sifat keterbukaan kepimpinan sesebuah organisasi sekali gus membuktikan usaha memerangi rasuah bukanlah tanggungjawab eksklusif SPRM semata-mata, tetapi juga adalah amanah dan tugas yang perlu dikongsi oleh seluruh anggota masyarakat.

Perkara itu diakui Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Shamshun Baharin Mohd Jamil yang menyifatkan IBR sebagai pembuka pintu kepada agensi untuk melaksanakan program susulan berkaitan antirasuah.

“IBR merupakan salah satu program pendidikan antirasuah dilaksanakan SPRM yang mempunyai impak dan keberkesanan tersendiri. Pengurusan tertinggi agensi yang melaksanakan IBR akan diminta menjalankan program susulan yang dapat memberi mesej bahawa organisasi mereka komited dalam pencegahan rasuah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas Shamshun Baharin, setiap tahun SPRM akan mengukur dan menilai keberkesanan program pendidikan yang dilaksanakan itu secara kumulatif, termasuk IBR, semua aktiviti, inisiatif serta program pendidikan.

“Ini dapat dilihat berdasarkan Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah oleh SPRM apabila tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 (72.5%), 2019 (74.3%) dan 2020 (77.7%),” katanya.

Selain itu, Shamshun Baharin berkata tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama SPRM juga meningkat setiap tahun sejak 2018.

“Tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 merekodkan pada kadar 82 peratus, 2019 (82.7%) dan 2020 (86.3%) manakala bagi tahap kesediaan masyarakat pada 2018 (81.1%), 2019 (82.1%) dan 2020 (85.6%),” katanya.

Bagi tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, beliau berkata pada 2018 adalah sebanyak 81% diikuti 81.8% pada 2019 dan 84.6% pada tahun lepas (2020).

Melihat kepada statistik keberkesan IBR, Shamsun Baharin berkata inisiatif SPRM itu akan terus dilaksanakan sehingga ke hari ini.

“Program IBR bersifat sukarela dan tiada paksaan maka, mana-mana organisasi yang berhasrat untuk melaksanakan IBR, mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa,” katanya menambah sehingga 31 Disember lepas, pemimpin organisasi daripada 1,608 organisasi telah menandatangani IBR.

IBR diperkenalkan SPRM sejak empat tahun lepas, sebagai inisiatif badan itu dalam memberi penekanan kepada ikrar dan janji dibuat kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela atas kapasiti sebagai individu.

Ia adalah untuk memastikan setiap individu yang menandatangani IBR akan lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka serta menjauhkan diri daripada perlakuan rasuah selama mereka memegang sesuatu jawatan itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles